Episod 2 : Merangkak atas kaca


Dua kali letupan yang menggoncang flat menambahkan kerisauan kemungkinan bangunan flat akan runtuh. Langit semakin merah . Letupan demi letupan menyusul selepas itu tanpa henti.
"Mu tengok adik-adikmu. Aku nak turun bawah," kata ayahku lalu berlari turun mengikut tangga yang bersesak dengan penduduk yang mula meninggalkan flat. Kulihat pakcik Mat yang sebelum itu berpakaian lengkap uniform bomba tetapi pulang seketika hanya berseluar panjang tidak berbaju dan berkaki ayam. Badannya berjelaga dengan kesan minyak hitam. Kemudian pakcik Mat memecut motosikalnya semula menuju ke gudang yang sedang marak terbakar .

Jeritan demi jeritan kedengaran di sana sini.
"Tangki nak meletup! Tangki nak meletup! Lari! Lari!"
Entah siapa yang berteriak kuat disusuli jeritan ketakutan yang amat.
Boooommm!!!! Bagaikan letupan sebutir bom yang amat kuat menyebabkan bangunan flat berhayun tiga kali. Semua kaca tingkap berderai di segenap arah. Semua barang di dalam rumah televisyen dan peti sejuk terbalik. Kelihatan langit kemerahan dengan taburan besi berapi berterbangan bagaikan tahi bintang yang jatuh ke bumi. Aku tercampak ke lantai dan merangkak di atas kaca yang berselerakan. Suasana gelap gelita.
"Kiamatkah ini," detik hati kecilku. Air mataku bercucuran laju.

Aku mengajak ibuku melarikan diri. Aku menarik tangan adik-adikku yang menagis katakutan . Aku mengikut ibuku menuruni anak tangga dalam kegelapan . Kakakku terpaksa merangkak dalam keadaan dirinya yang tidak mampu berjalan sempurna akibat kelainan upaya yang dialaminta selepas demam panas yang teruk semasa kecil. Aku dan keluargaku berjaya sampai ke bawah akhirnya setelah tolak-menolak di tangga dengan penduduk lain yang menyelamatkan diri. Ayahku yang muncul ketika itu menyuruh aku mengikut orang ramai melarikan diri. Hanya berkaki ayam, aku mengekori orang ramai ke jalan besar tanpa mengetahui arah tuju.

Dalam kesamaran , aku terlihat baju ibuku dibasahi darah. Rupa-rupanya dahi ibuku luka berdarah akibat serpihan kaca yang melayang . Suara kanak-kanak dan wanita menangis di sana sini.
"Aku tinggal sini. Mu pergi bawa ibumu adik-adik," desak ayahku. Sebenarnya, aku tidak mahu meninggalkan di situ kerana keadaan sangat bahaya. Di jakan raya , kelihatan serpihan berbara besi rel kereta api bertaburan . Aku tidak dapat membayangkan bagaimana besi rel keretapi melayang sejauh itu dan kalau mengenai orang tentulah ajal menjemputnya.

Sepanjang jalan , kedengaran lolongan siren jentera-jentera bomba dan kereta polis menuju ke arah gudang yang terbakar. Aku meneruskan langkah yang entah ke mana dalam kegelapan dan sesekali cerah pantulan cahaya api yang menjulang setinggi pokok kelapa. Aku menoleh ke arah Pelabuhan Selatan , langit kelihatan merah dan asap hitam berkepul-kepul ke ruang angkasa. Anggota-anggota polis yang berjalan kaki mengarahkan kami mempercepatkan langkah mengikut arus manusia yang berbondong-bondong meninggalkan rumah masing-masing ke destinasi yang tidak diketahui.

Aku terserempak dengan keluarga sepupuku yang juga tinggal di flat LPK.
"Kita lari ke rumah abang Zuki," kata sepupuku. Bermakna kami akan berjalan kaki ke Sungai Udang Klang kerana di situlah abang sepupuku tinggal. Di pekan Pelabuhan Klang, kereta dan lori tersekat dan tersadai di tepi jalan tanpa pemandu. Barang kali , mereka telah melarikan diri sama ketika letupan besar berlaku dan aku mendapat tahu gegaran letupan itu dapat dirasai hingga ke Petaling Jaya.
Kedai-kedai di sepanjang Jalan Kem ternganga begitu sahaja bagaikan medan peperangan .Ambulans berkejar-kejaran menuju ke Pelabuhan Selatan. Anggota-anggota FRU tiba dengan beberapa buah bas dan lori berwarna merah. Suasana menjadi sangat bingit dengan siren polis. Langkah demi langkah semakin cepat menuju ke Sungai Udang Klang..

Bersambung..(Padang jarak padang terkukur)..






Comments

Popular posts from this blog