Episod 1: Langit terbakar.
1980, umurku baru 13 tahun. Malam itu, ada perlawanan bolasepak antara pasukan Malaysia dan pasukan jemputan ( negara tak ingat ). Suasana di flat LPK Pelabuhan Klang riuh rendah dengan sorak sorai . Kira-kira jam 11.00 malam, perlawanan hampir tamat. Kedengaran sorakan kuat Super Mokh menjaringkan gol untuk pasukan Malaysia.
"Mie, ko tengok tu," kata Ah Tuang kawan sebelah rumahku. Ah Tuang satu-satunya keluarga Tionghua yang tinggal di situ. Dia mempunyai seorang kakak dan abang yang besar tetapi kurang bercampur dengan budak-budak flat. Ada juga aku terdengar desas desus mereka menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) di Pahang sebab selepas kejadian malam itu aku tidak pernah melihat kelibat mereka lagi.
Aku mendongak dan melihat langit malam itu sangat cerah dengan cahaya api yang menjulang-julang. Kebakaran gudang di Pelabuhan Selatan ! Jarak pintu gate Pelabuhan Selatan kira-kira 300 meter dari Flat LPK. Sesekali terdengar letupan kuat dan disambut dengan suara jeritan penduduk Flat yang mula gelisah. Betul-betul di blok bangunan Flat rumahku terletak lima tangki minyak Caltex sebesar kepala kapal terbang. Tidak jauh hanya 150 meter. Aku cuma membayangkan jika berlaku letupan tangki minyak Caltex tu habislah riwayat kami semua yang tinggal di flat dan berkubur di situ.
"Kemas barang-barang penting ," arah ayahku sambil bersiap-siap memakai uniform kerja. Ayahku pemandu forklift di Pelabuhan Utara. Mereka yang tinggal di Flat LPK adalah pekerja-pekerja Pelabuhan Utara atau Pelabuhan Selatan.
"Che Wil, aku pergi tengok gudang," kata Pakcik Mail yang tiba-tiba muncul di muka pintu.Wajahnya kelihatan cemas.
"Mu bawa ibumu dan adik-adik lari kalau berlaku apa-apa," pesan ayahku yang sudah berada di muka pintu.
"Mu jangan tinggal ibumu," ulang ayahku lagi. Aku tidak melihat wajah ayahku cemas . Ayahku tenang tetapi seperti memikirkan sesuatu tindakan.Sekejap masuk sekejap ke luar rumah. .Aku berdiri di balkoni melihat penduduk Flat mula berbondong-bondong membawa beg-beg besar ingin berpindah ke tempat selamat.
"Mu ingat pesan aku, jangan takut. Bawa ibumu adik-adik," kata ayahku. Aku tahu ayahku seorang yang berani. Ayahku pernah bercerita dia membawa sebuah gerabak keretapi penuh mayat tentera Jepun semasa menjadi pemandu lokomotif. Ayahku pernah bercerita kepadaku bagaimana dia ke pekan Pelabuhan Klang untuk membawa anak-anak yang tinggal di kuarantin (penempatan awal di Pelabuhan Kkang) pulang ke rumah semasa peristiwa 13 Mei 1969. Aku berusia 2 tahun semasa peristiwa hitam itu meletus.
"Bommmm!Bommmm! Dua kali bunyi letupan amat kuat menggegarkan bangunan flat dan cermin tingkap. Ayahku keluar ke balkoni untuk meninjau keadaan. Suasana riuh rendah. Aku menuruti di belakang ayahku. Aku melihat pakcik Mat dan Pakcik Hamzah bergegas menaiki motosikal dengan uniform bomba lengkap dan baju kalis api. Mereka ialah anggota bomba di Pelabuhan . Uncle Velu yang juga anggota bomba berlari dengan berpakaian baju kalis api ke arah pintu gate Pelabuhan Selatan .
Api masih menjulang tinggi. Bunyi letupan silih berganti . Jam menunjukkan pukul 2 pagi. Tiada tanda-tanda api akan reda. Langit sedang terbakar !

Comments
Post a Comment