EPISOD : ANUGERAH ..

Saat kerajaan mengumumkan PKP 1.0 , aku terpaksa menutup perniagaanku secara mengejut . Tiada persediaan untuk menghadapi situasi itu. Malah , pembelajaran dan pengajaran memasuki norma baharu , kelas Online. Aku jadi kebuntuan kerana selama ini tiada kemahiran mahupun pengetahuan tentang kaedah kelas Online. Aku cuba mengelakkan diri daripada pertanyaan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka menjadi murid-muridku. Aku tiada jawapan tentang persoalan kelas tuisyen yang tergendala secara tiba-tiba.
Ada ibu bapa yang mencadangkan aku memulakan kelas Online demi kelangsungan kelas tuisyen . Aku tercari-cari cara untuk meneruskan kelangsungan pendapatan yang terputus. Di hadapan terbentang senarai komitmen yang perlu dilunaskan setiap bulan. Atas bantuan seorang rakan lama , aku memulakan sesi pembelajaran secara rakaman video. Namun , kaedah itu agak menyukarkan kerana memerlukan persediaan bahan seperti papan putih , microphone , lampu yang sesuai dan kelengkapan sampingan.
Aku sempat menyiapkan beberapa siri rakaman video dan aku kongsikan kepada murid-muridku. Malangnya , mereka tidak membayar yuran yang sepatutnya dibayar seperti sebelum PKP. Walaupun begitu , aku tidaklah meminta-minta kerana tanggungjawab ibu bapa membayar servis yang telah aku sediakan. Ibu bapa ramai yang terkesan akibat PKP. Ada yang diberhentikan kerja , dipotong gaji dan nenutup perniagaan. Atas kesedaran itulah , mulutku begitu berat untuk meminta bayaran yuran. Bilangan murid-muridku berkurangan sehingga 80% . Jumlah kecil yang tinggal tidak mampu untukku membayar segala komitmen yang aku tanggung.
Aku cuba menenangkan diri dengan bertukang kayu. Bukan sahaja tiada pengalaman bertukang malah memegang gergaji dan tukul kayu pun boleh dibilang satu atau dua kali setahun aku memegang tukul.Itupun untuk mengetuk paku dinding di rumah. Namun di sebalik itu , aku mendapat kepuasan diri dan melupakan seketika kegusaran tentang kehilangan pendapatan. Bilangan murid semakin menyusut hari demi hari. Bermakna aku berhadapan dengan segala kemungkinan dengan pihak bank . Alhamdulillah anak-anakku membantu setakat yang terdaya dari segi bayaran bil utiliti dan makan minum aku dan isteri.
Berbekalkan sedikit simpanan yang tidak seberapa aku masih cuba bertahan dalam perniagaan tuisyen. Hampir 20 tahun setelah aku berhenti kerja makan gaji dan memilih untuk berniaga tetapi berkesudahan begini. Tiga pusat tuisyen yang dibuka memerlukan wang untuk membayar sewa bulanan. Pemilik bangunan sewa keberatan untuk memberikan potongan bayaran sewa menyebabkan aku terus membayar sewa bulanan sebanyak RM2200 .00. Alangkah beratnya tanggungan itu. Hampir RM14000.00 aku berhabisan untuk membayar sewa tanpa pulangan !!
Semua kelas personal turut terhenti bagaikan kereta brek mengejut. Aku kehilangan pendapatan yang berganda. Sudahlah pendapatan kelas tuisyen terjejas ditambah lagi kelas personal turut terbengkalai begitu sahaja. Aku menyibukkan diri dengan bertukang itu ini sebagai suatu 'escapetisme' daripada belenggu masalah. Dari pagi hingga petang kuhabiskan masa bertukang itu ini. Dalam masa singkat aku sedar ada sedikit ' bakat' di dalam diriku. Hasil buah tangan tukangan aku gunakan untuk diri sendiri dan ada juga kuberikan kepada kawan-kawan.
Beberapa ibu bapa murid menyuarakan hasrat mereka untuk membantu aku dari segi kewangan . Mereka membayar yuran melebihi jumlah yang sepatutnya semata-mata untuk meringankan bebanan kewangan aku. Walaupun aku menolak dengan baik tetapi mereka memaksa aku supaya menerimanya. Mereka ikhlas untuk membantu aku. Akhirnya, aku menerima pertolongan mereka dengan rasa syukur yang amat.
"Cikgu Azmi ye?," kedengaran suara di hujung telefon bimbit.
"Ya, saya,".
"Boleh saya jumpa ,Cikgu?," katanya.
"Siapa ni?"
"Saya Malini"
"Tak pe, Cikgu mungkin tak kenal saya. Nanti kita jumpa di rumah Cikgu," katanya ramah seolah-olah sudah lama mengenali aku. Aku sendiri tidak mengenalinya dan pertama kali aku berbicara dengannya.
"Saya sukarela nak ajar Cikgu cara mengajar Online," katanya lagi.
"Tapi ,di rumah saya tiada talian wifi," kataku berterus-terang.
"Tak pe. Cikgu boleh apply dengan syarikat telco untuk pasang talian wifi," kata Malini memberiku cadangan. Aku berasakan inilah ruang dan peluang Allah bukakan untukku. Doaku termakbul.
Keesokan hari , aku menghubungi bekas muridku kerana setahu aku muridku ini menjalankan perniagaan Unifi. Setelah aku hubunginya , muridku ini berjanji untuk menolongku sebagai penghargaannya kepada aku.
"Saya nak cepat pasang unifi," kataku di hujung talian .
"Ok , cikgu. Saya suruh staf saya pasang hari ni juga.Semua appoinment saya stop dulu," kata Aki, bekas muridku ini. Walaupun Aki datang daripada keluarga berada namun sikapnya yang 'humble' tidak mengubah dirinya hingga hari ini. Hari itu juga seperti dijanjikan datang sebuah van Unifi dengan tiga orang staf memanjat tiang telefon di belakang rumahku untuk menyediakan talian Unifi.Setelah hampir sejam segala pemasangan telah siap.
"Cikgu , staf saya dah siap pasang ?" Aki menelefon aku.
"Sudah siap. Berapa nak bayar?" tanyaku spontan.
"Tak payah bayar Cikgu. Saya tak nak ambil duit Cikgu. Jasa Cikgu terlalu besar," kata Aki bersungguh-sungguh. Selepas SPM , Aki telah melanjutkan pelajarannya ke Australia sehingga menamatkan pengajiannya dan mengambil alih urusan perniagaan ayahnya. Semoga bertambah-tambah rezekinya.
Masalah kedua ialah laptopku sudah rosak tidak berganti sejak setahun lalu. Aku memerlukan sebuah laptop baharu. Anak-anakku telah menyumbang wang untuk aku membeli sebuah laptop baharu.Petang yang sama aku memandu kereta ke AEON BUKIT TINGGI yang tidak jauh dari rumahku.Setelah membayar harga sebuah laptop berjenama DELL aku pulang ke rumah dengan semangat baharu yang berkobar-kobar. Bil bayaran bulanan Unifi ditanggung sepenuhnya oleh anakku.
"Hai, Malini.Saya sudah ready," kataku semasa menghubungi Malini.
"Ok, Cikgu.Petang ini pukul 2 petang saya datang ke rumah Cikgu," kata Malini. Kata-kata Malini memberikan suatu semangat baharu kepadaku. Kegusaran menerima perubahan jangan dijadikan halangan untuk berjaya. Tiada kesukaran yang tiada jalan keluar. Aku sangat yakin.
Hari itu, Malini datang ke rumahku. Hari itulah pertama kali aku melihat Malini. Orangnya ceria dan 'friendly'. Hari itulah bermula sesi pembelajaran Online aku dengan guruku Malini. Aku diajar satu persatu kaedah menggunakan aplikasi Zoom sehinggalah aku benar-benar tahu dan yakin menggunakannya tanpa kehadiran Malini. Usai pembelajaran itu , barulah aku tahu bahawa Malini ialah seorang Dr.PhD. Dr.Malini seorang pengusaha tadika swasta ' Tadika Manja Pintar Canary Garden Klang '' yang terkenal di Lembah Klang dan konsep pengurusan dan pembelajarannya mendapat pengiktirafan di peringkat global.
Setelah semua ada di depan mata, aku tidak bertangguh-tangguh lagi. Aku memaklumkan ibu bapa murid bahawa kelas Online Bahasa Melayu Cikgu Azmi akan bermula . Aku mencetak 2000 keping 'flyers' yang kuedarkan sendiri dengan bantuan anakku dari tangan ke tangan , peti pos dan parkir kereta. Tiada istilah malu untuk berjaya. Hari ini kita menanam esok lusa kita menuai hasil. Kerja halal tidak perlu rasa malu . Aku bukannya mencuri walaupun ada yang memandang sinis. Malah ,ada yang menerima 'flyers' yang aku beri dikeronyok di depanku dan dibuang ke dalam longkang. Aku sudah mangli dengan perangai manusia sebegini. Bukan masalah aku. Alah bisa tegal biasa. Hati mesti keras untuk berjaya !
Alhamdulillah selepas aku menggunakan aplikasi kelas Online , kehadiran murid-murid di dalam kelasku bertambah hari demi hari. Ada hikmah dan nikmat besar apabila Allah pertemukan aku dengan insan-insan berhati mulia. Kini, murid-murid ada di serata negeri Kelantan , Terengganu, Negeri Sembilan , Kuala Lumpur dan kebanyakannya dari Lembah Klang. Kalau sebelum PKP , murid-muridku dari sekitar Klang, Shah Alam dan Subang Jaya. Namun yang masih belum berubah ialah komposisi muridku sejak 20 tahun hingga sekarang masih 90% murid terdiri Cina dan India manakala 10% murid Melayu. Semoga komposisi ini akan berubah berdikit-dikit.
Syukur alhamdulillah, Allah Maha Mengetahui Maha Pemurah Maha Penyayang. Allah Maha Mendengar doa hamba-Nya. Aku juga ingin memberikan penghargaan ikhlasku dan dedikasi kepada beberapa orang insan yang sanggup membantuku .Mohd.Asyraf (Roy), Chan , Dr.
Malini Eaganathan
, Haji Zainal , Dato Patrick, Adreana , Chong , Allecyia , Abhilash, Boviesyira ,
Mohd Edzizul
, dan sahabat-sahabat lain yang mahu dirahsiakan identiti. Terima kasih , sahabat sejati !



Comments

Popular posts from this blog