Setiba di rumah , seperti biasa makanan dan minuman sudah terhidang di atas meja. Seperti biasa juga , aku dan isteri berbual-bual semasa makan sambil aku memuji kepandaiannya memasak. Kata cerdik pandai , petua memikat hati suami pikatlah perutnya!
Selesai makan , pinggan dan gelas dibasuh dan diletakkan di atas rak tepi singki. Kemudian, aku naik ke atas untuk membersihkan diri. Borang nikah dan borang poligami aku letakkan di atas meja 'master bedroom'. Memang aku sengajakan !
Aku keluar semula petang itu untuk mengajar dan akan balik ke rumah selepas 11 malam..Sejak berkahwin isteriku sudah dapat menyesuaikan diri dengan rutin harianku. Perkara ini penting supaya masing-masing saling mempercayai. Walaupun , ada kawanku yang mengajar aku 'tektik' balik lewat namun pada aku keselesaan adalah di rumah.
Selesai makan lewat malam , aku ke atas untuk membersihkan diri dan solat. Borang nikah dan poligami masih terletak di atas meja dengan malas. Isteriku telah pun tidur atau pura-pura tidur aku pun kurang pasti. Aku terus baring dan menarik gebar . Tunggulah reaksi esok. Badan aku terlalu letih kerana sepanjang hari sibuk ke Pejabat Agama kemudian mengajar .
Pagi-pagi, sudah tersedia sarapan 'favorite' aku mi hoon goreng dan teh o. Hanya ada dua orang yang pandai memasak mi hoon goreng , ibuku dan isteriku. Tiada perbualan seperti kebiasaannya. Suasana di meja makan dipeluk sepi . Di dalam hati, aku ketawa terbahak-bahak tetapi kusimpan ketawa itu dalam-dalam. Aku buat-buat serius . Aku mencapai beg sandang dan tali leher di atas kerusi. Isteriku di dapur mencuci dan mengemas pinggan mangkuk serta cawan.
Dalam perjalanan ke sekolah , otakku ligat berfikir mencari idea cara untuk membuka mulut isteriku. Setidak-tidaknya , dia akan bertanya tentang surat itu. Atau , dia akan mengkeronyok aku malam nanti. Atau, tiada makanan dan minuman di atas meja menanti kepulanganku dari tempat kerja . Bermacam-macam andaian berlegar di benak fikirku.
Aku sampai di rumah seperti biasa, hampir 11 malam. Di atas meja di bawah tudung saji , makanan dan minuman telah tersedia. Aku menikmati makan lewat malam sambil menonton televisyen. Selepas makan , aku membaca surat khabar dan kemudian melayan rancangan televisyen . Kira-kira jam 1 pagi, aku naik ke atas.
Borang nikah dan poligami kupandang kosong tidak terusik. Isteriku sudah lama dibuai mimpi. Aku segera mandi dan selesai solat Isyak , aku menyemak jadual harian esok hari. Aku merebahkan badanku yang letih .
Tiba-tiba, aku berasa leherku seperti dicekik dengan kuat. Aku meronta-ronta untuk melepaskan diri . Lagi kuat aku meronta-ronta lagi kuat cekikan pada leherku. Aku cuba menjerit sekuat - kuat hati tapi jeritanku tersekat di kerongkong. Seluruh badanku berpeluh.
"Bang, bang , bang." Aku membuka mata. Isteriku di samping aku .
"Kenapa ni, macam kena kejar hantu?," kata isteriku.
"Mengigaulah," kataku perlahan dan badanku berpeluh di bilik berhawa dingin.
"Ada hati nak kawin lagi. Dengan hantu pun takut ," kata isteriku seperti menerajang tubuhku hingga terjatuh dari katil.
"Tak adalah , itu borang assigment je," kataku berterus terang . Dalam samar-samar lampu di tepi jalan yang menerobos langsir bilik isteriku menunjukkan penumbuknya yang tak sebesar mana. Isteriku mencekik leher aku dan aku hanya ketawa berguling-guling cuba melepaskan diri . Kami ketawa terkekeh-kekeh .

Comments
Post a Comment