EPISOD : JODOH

Seandainya bermanfaat kepada pembaca , aku ingin berkongsi kisah ini agar menjadi suatu motivasi kepada pembaca dan bukan niat untuk membangga diri atau apa2 saja label yang meruntun rasaku. Perjalanan hidup kita berbeza-beza .Ada yang lurus dan ada yang berliku-liku. Kekadang keperitan hidup yang pernah kita alami disimpan kemas di lubuk sanubari supaya kita sesekali tidak lupa asal-usul kita dari mana kita bermula suatu perjalanan kehidupan yang panjang .


Kata orang, ' hidup jangan menyusahkan orang' .Kata-kata itu sudah mangli bagiku. Apa yang pasti kata-kata itulah menjadi azimat dan keazaman untuk mendaki tangga kehidupan. Lelah memanglah lelah. Aku tidak menolak rezeki yang diberikan Allah malah aku bersyukur yang amat. Rezeki anugerah seorang wanita bernama isteri yang bersemangat waja yang sanggup susah senang jatuh bangun bersama-sama adalah anugerah yang tidak terhingga.

Mana mungkin seorang gadis yang selama ini dibesarkan dengan kasih sayang ibu bapanya dan adik-beradik sanggup menerima aku sebagai pasangan hidupnya kalau bukan kerana jodoh , cinta dan kesediaannya mengharungi onak ranjau kehidupan berkeluarga. Sudah pasti isteriku menyedari hakikat sebenar apabila dirinya dicintai lelaki yang berjaya mencuri hatinya sedangkan ketika itu masih banyak ruang dan peluang untuknya memilih seorang lelaki yang sepadan dengannya .

Oleh sebab itulah , aku seakan sedar bahawa aku telah dipertanggungjawabkan untuk menjaganya sebaik mungkin dan tidak sesekali mempersia-siakannya. Bukan kerana harta aku dipilih menjadi lelaki di hatinya dan bukan kerana rupa hatiku dimilikinya. Menurut seorang kenalan rapatku, sebenarnya sudah ada desas-desus calon yang sudah diperkirakan oleh keluarganya yang berharta dan sudah pasti calon terbaik untuk menjamin masa depannya. Namun , dia tetap memilih aku .

Permulaan hidup berumah tangga amat memeritkan . Kuseluk poket seluarku saat aku bakal disandingkan tetapi yang berbaki hanya mampu bertahan untuk makan minum sehari ! Setiap pasangan sudah ditetapkan bahagian masing-masing dan rezeki masing-masing. Janji Allah itu pasti dan diyakini sepenuh hati. Jangan ditoleh masa silam kerana akan memedihkan hati.

Usia berumah tangga setahun, kami dianugerahkan seorang puteri. Dua harta yang aku miliki , seorang puteri dan sebuah motosikal yang telah lanjut usia. Kami bahagia dengan kehidupan yang kami pilih dan rancang . Setiap anak yang lahir membawa rezeki. Motosikal usang berganti dengan sebuah motosikal baharu Suzuki RC80 setelah gajiku dinaikkan RM150 ringgit daripada RM220.

Selang setahun , Allah kurniakan rezeki puteri kedua. Bererti bertambahlah tanggungjawab untuk keselesaan hidup empat beranak. Pelbagai pekerjaan kulakukan walaupun terpaksa pulang lewat setiap hari dan bekerja tujuh hari seminggu. Tiada ungkapan yang paling tepat melainkan KESUNGGUHAN DEMI SEBUAH KEHIDUPAN.

Bermula episod baharu dalam kehidupan apabila satu demi satu dugaan datang . Kalau boleh kukatakan kami umpama sebiji bola yang ditendang ke sana ke sini. Tak mengapalah sudah ditakdirkan begitu. Berpindah randah dari sebuah rumah sewa ke sebuah rumah sewa sudah menjadi asam garam. Kata orang 'tujuh kali pindah rumah akhirnya jadi papa'. Kata-kata itu padaku bukanlah betul sangat . 'Kalau secupak takkan jadi segantang' itu lahir dari mulut orang malas !.

Sebuah motosikal itu menjadi saksi kegusaran hati kerana keselamatan di hujung pedal. Sebuah motosikal itulah menjadi saksi betapa orang tidak memandang kamu jika kamu serba kekurangan. Semua kata sindiran dan perlakuan terhadap aku, kudengar kulihat kusimpan kejap jauh di lubuk hati. Dan semua itu juga tidak pernah melemahkan apatah lagi mematah-matah riuk semangatku.

"Macam sarkis!". Di sebalik kata-kata sinis dimesrai senyuman dibuat-buat ada hati yang sedang menangis . Di sebalik kegembiraan yang disengajakan , ada hati yang sedang diuji. Ini sahaja kebahagiaan yang dapat kuberikan untuk orang-orang tersayang . Berat mulutku untuk berkata 'pinjam' takut nanti dipersalahkan jika berlaku sesuatu dan tidak pula aku menunggu 'pelawaan' kerana sememangnya perkataan itu tidak pernah muncul. Aku juga tidak berharap apa-apapun .

Biarlah kubesarkan mereka lagak seorang penjaga 'sarkas' yang hebat. Berpuluh-puluh harimau singa gajah dapat dijinakkan dengan seutas cemeti di tangan . Jangan takut dibaham binatang buas tetapi paling digeruni saat tangan ghaib yang mengunci pintu pagar di luar. Usah kita berkecil hati dengan sindiran kerana mereka tidak sedar dan tidak tahu apa-apa tentang diri kita sebaliknya mereka di luar sana melihat kita dengan mata kepala bukan mata hati..



Comments

Popular posts from this blog