EPISOD : GELISAH


Pada tahun 1977, buat pertama kali aku ditempatkan di dalam darjah 4A. Kelas pertama di dalam sekolah. Aku sendiri berasa agak terkejut dimasukkan ke kelas pertama kerana aku rasa gusar untuk menghadapi persaingan sengit dengan kawan-kawan sedarjah . Perkara paling mengerikan bagi aku ialah bahasa Inggeris.

Rata-rata kawan di dalam darjah 4A berbahasa Inggeris tak kira Melayu, Cina dan India. Kebarangkalian, bahasa Inggeris menjadi bahasa pertuturan mereka di rumah. Manakala, aku pula dibesarkan di flat yang rata-rata majoriti penduduk orang Melayu. Kawan-kawan Cina dan India juga bertutur dalam bahasa Melayu. Jadi, aku tidak terdedah kepada komunikasi bahasa Inggeris .
Semasa di sekolah , Cikgu Wong mengajar matematik diselang selikan dengan bahasa Inggeris menjadikan aku sukar memahami mata pelajaran tersebut. Tambahan lagi, kawan-kawan lain lebih laju menguasai mata pelajarn tersebut. Tiba waktu bahasa Inggeris , aku menjadi pendiam kerana takut disoal oleh cikgu. Nak tak nak , apabila nama aku dipanggil untuk menjawab soalan , aku terpaksa menjawab secara hentam kromo atau aku diam sehingga disuruh duduk.
Begitulah situasi yang aku hadapi setiap hari di sekolah. Keseronokan belajar semakin kurang . Kawan-kawan di kelas lama juga berkawan dengan kelompok mereka . Jadilah, aku ' bersendirian" melalui hari-hari yang mendatang yang penuh emosi. Namun begitu, aku mempunyai beberapa orang kawan yang kukira ' senasib' dengan aku yang naif . Kami berkawan baik di dalam dan di luar bilik darjah. Sememangnya, murid-murid pandai lebih disayangi oleh cikgu-cikgu. Manakala, murid-murid yang suam-suam kuku seperti aku ' tersisih' . Barang kali juga kerana aku sendiri tidak gemar mendekati cikgu di dalam bilik darjah.
Hari demi hari berlalu . Di sekolah , ada pertandingan teka silang kata daripada sebuah akhbar picisan. Aku sudah lupa nama akhbar picisan itu. Murid yang berjaya akan mendapat hadiah berupa t-shirt dan alat tulis. Seingat aku, aku pernah memenangi dua kali peraduan teka silang kata bahasa Melayu . Hadiah-hadiah akan disampaikan oleh wakil akhbar di pehimpunan mingguan.
Tidak digambarkan perasaan sewaktu namaku diumumkan untuk menerima hadiah t-shirt di depan perhimpunan pagi. Tapi, tidaklah sampai tersembur kata " lihatlah dunia " . Hampir semua murid mengambil bahagian dan tiga pemenang sahaja dipilih setiap bulan. Jadi, daripada beratus-ratus murid setiap bulan tiga pemenang dipilih di setiap sekolah. Tujuan peraduan ini untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan murid. Zaman sekarang , murid-murid lebih gemar membaca Istagram , Facebook , Whatsapp dan dilalaikan dengan budaya hedonisme. Sebab itulah, perbezaan kualiti murid dahulu dengan sekarang umpama langit dan bumi.
T-shirt itulah yang dipakai sebagai ganti singlet semasa ke sekolah. Bukan aku sahaja , tetapi murid-murid yang pernah memenangi t-shirt itu turut memakainya ketika pendidikan jasmani di padang. Dulu, tiada istilah kokurikulum sebaliknya Pendidikan Kesihatand dan Jasmani.
Di MBS , terdapat sebuah klinik rawatan dan pergigian. Jadi, pernah juga akau merasa duduk di atas kerusi rawatan semasa seorang 'dentist' memeriksa gigi. Semua murid wwajib menjalani pemeriksaan gigi setahun sekali. Kami akan beratur di luar klinik mengikut kumpulan 5-6 orang untuk diperiksa gigi. Yang kena cabut gigi melolong di dalam klinik yang beratur di luar sudah mula menangis. Alhamdulillah, sejak kecil hingga hari ini aku tidak pernah mengalami sakit gigi atau dicabut gigi. Che (Datuk) dan mak tua (nenek) aku di Kelantan mempunyai cukup gigi semasa mereka meninggal dunia kerana petua yang diajar mereka masih kuamalkan hingga kini.
Dalam setahun sekali atau dua kali , lori MILO akan datang ke sekolah untuk memberikan minuman percuma. Kami akan beratur mengikut giliran kelas untuk menikmati minuman MILO sejuk percuma. Yang seronoknya, kami boleh mengambil minuman berkali-kali tetapi perlu beratur mengikut giliran juga. Cikgu-cikgu turut sama menikmati minuman MILO tetapi mereka tak perlu beratur. Keseronokannya, cikgu minum MILO bersama-sama murid-murid tanpa protokol . Bekas minuman yang dibuat daripada kertas dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan tetapi ada juga murid yang degil membawa minuman MILO ke dalam bilik darjah dan bersepahlah bekas minuman di koridor bilik darjah!
Aku kurang meminati sukan di sekolah tetapi sangat aktif di kawasan tempat tinggal aku. Apabila diadakan pemilihan pemain bola sepak , aku tidak ikut serta. Kawan-kawan aku yang terpilih dalam pasukan bola sepak dan sepak takraw. Ketika itu, pemain bola sepak dan sepak takraw yang mewakli sekolah akan dipandang hebat dan mempunyai peminat dalam kalangan murid perempuan. Termasuklah atlet olahraga sekolah.
Semasa hari sukan , aku dipilih menjadi pelari dalam acara 400m x4 mewakili rumah Hijau. Setiap tahun, rumah Kuning menjadi Johan kerana ramai atlet sekolah mewakli rumah Kuning. Pemenang tempat pertama hingga ketiga acara berpasukan akan menerima hadiah berupa bekas makanan atau botol minuman plastik yang disampaikan di hadapan khemah ibu bapa dan tetamu kehormat.
Hadiah diberikan semasa acara sukan masih berlangsung dan dibungkus dalam plastik besar. Seorang sahaja wakil pasukan akan menerima hadiah daripada Guru Besar atau tetamu kehormat yang dijemput ke hari sukan sekolah. Masalahnya, wakil yang menerima hadiah akan membawa 'lari' hadiah itu keliling padang dan dikejar oleh kawan-kawan sepasukan untuk berebut hadiah. Aku tidak pernah menang apa-apa acara sukan.Nokhtah!




Comments

Popular posts from this blog