EPISOD : HARI PERTAMA SEKOLAH
Kisah ini berlaku pada tahun 1974 , hari pertama darjah satu aku dihantar oleh ayahku dengan menunggang basikal dari Jalan Kem , Pelabuhan Klang ke Sekolah MBS. Dulu ,Sekolah MBS dikenal sebagai Methodist Boys School. Murid-murid di MBS lelaki dan perempuan. Kiranya, sekolah aliran Inggeris yang popular di Pelabuhan Klang.
Darjah satu aku ditempatkan di Kelas 1E. Ayahku menghantar aku hingga ke dalam bilik darjah. Guru kelas aku ialah Puan Lopez. Matanya berwarna coklat bertubuh besar dan setiap hari memakai sari ke sekolah. Orangnya baik tetapi garang ketika mengajar dan bahasa pengantar bahasa Inggeris. Aku jadi cuak kerana sepatah harampun aku tidak faham.
Di dalam kelas , kawan-kawan aku terdiri daripada berbilang bangsa dan lapisan masyarakat. Ada yang bergaya seperti anak orang kaya . Ada yang biasa-biasa macam aku. Ada juga daripada keluarga susah . Aku sendiri tidak tahu membezakan kelas A sampai E. Adakah kerana kelas A budak-budak pandai dan kelas E budak-budak tercorot . Entahlah.
Setiap hari ke sekolah aku membawa beg kotak . Kalau zaman sekarang , beg pergi 'holiday' cuma beg sekolah aku tiada roda. Bercorak petak-petak. Di dalam beg kotak itu, ada ruang simpan alat tulis. Kira 'famous' juga beg kotak kerana ramai yang membawa jenis beg itu ke sekolah.
Setiap pagi, ada perhimpunan di depan bangunan sekolah dua tingkat. Asalnya, MBS ialah sebuah gereja yang sudah wujud sejak zaman kolonial. Jadi, reka bentuknya saling tidak ubah seperti bangunan-bangunan sekolah La Salle dan St.Anne Convent.
Guru Besar sekolah aku bernama Rev.Lim Kim Tuck . Seorang paderi berbangsa Cina yang bercakap dengan suara yang lembut dan sopan. Beliau akan memakai jubah hitam seperti mana pakaian seorang paderi di gereja. Beliau akan menyampaikan ucapannya dalam bahasa Inggeris . Aku hanya melongo dan sepatah haram aku tidak faham. Tiba giliran guru lain berucap barulah aku faham kerana menggunakan bahasa Melayu tetapi bukan faham kandungan ucapannya.
Selesai ucapan, kami beratur mengikut barisan berjalan ke dalam bilik darjah yang terletak di tepi tangga untuk naik ke pejabat. Di dalam bilik darjah hanya kerusi dan meja kayu yang disusun memanjang. Sebuah papan hitam menggunakan kapur berwarna-warni. Aku suka pergi ke sekolah kerana ada ramai kawan walaupun aku dikategorikan murid pendiam.
Ada kawan-kawanku yang sangat pandai kerana markah ujian mereka selalu 100%. Mereka yang pandai telah memasuki tadika semasa umur 6 tahun. Aku tidak pernah menjejakkan kaki ke tadika. Apa yang diajar oleh guru di dalam kelas adalah sesuatu yang sangat baru. Antara kawan di dalam bilik darjah ada yang fasih berbahasa Inggeris dalam satu kelompok dan satu kelompok lagi berbahasa Melayu. Namun begitu , kami sangat rapat ketika di kantin atau di padang. Aku diajar menulis huruf dan abjad. Guru akan mengedarkan kertas tulis yang asalnya kertas kitar semula bukan seperti kertas putih fotostat hari ini. Kertas tulis ini agak kasar dan warnanya kekuning-kuningan.
Apabila waktu rehat, ayahku sudah menunggu di kantin sambil membawa bekal makanan dan minuman yang dimasak oleh ibuku. Bekal makanan dibungkus dengan kertas surat khabar dan plastik sebagai pengalas. Kebiasannya , nasi dan kuah kari dan ikan goreng. Air sirap di dalam botol plastik. Kawan-kawanku yang kurang bernasib baik hanya minum air paip . Setelah beberapa bulan , barulah ayahku memberikan wang saku RM0.20 sen setiap hari untuk membeli makanan dan minuman di kantin. Harga makanan pada zaman itu sangat murah. Mi rebus RM0.10 sen dan air RM0.05 sen. Itu pun sudah mengenyangkan. Baki duit RM0.05 sen akan aku simpan di dalam tabung buluh yang dibuat oleh ayahku. Sehingga hari ini , sudah menjadi tabiat aku menyimpan duit syiling di dalam tabung!.
Waktu sebelum balik, aku dan kawan-kawan akan ke padang untuk aktiviti pendidikan jasmani. Sama lah macam Cikgu Murni dalam cerita Labu Labi. Buat bulatan dan lari berkeliling sambil pegang tangan. Apa lagi, tunggang-langgang ditarik ke tengah ke tepi ke belakang. Beg sekolah akan dibawa sama ke tepi padang kerana apabila loceng waktu balik berbunyi kami tidak perlu masuk ke bilik darjah. Tiada pakaian khas untuk aktiviti padang . Baju sekolah itulah baju sukan . Bau tengik peluh membalut tubuhku sewaktu membonceng basikal ayahku pulang ke rumah.
Setiap hari Jumaat , ada perhimpunan khas di dewan sekolah di tingkat atas sebelah perpustakaan. Dewan yang berlantai kayu parkir dan sebuah piano di atas pentas. Kami akan menyanyi beramai-ramai lagu 'Brother John ' 'Jinggle Bell' sambil piano dimainkan oleh seorang biarawati (sister). Dewan itu juga menjadi saksi pertandingan boxing legenda Muhammad Ali. Sebuah televisyen kecil hitam putih diletakkan di atas meja . Kami tidak menonton pun dan suasana di dalam dewan riuh rendah. Guru-guru hanya duduk menonton televisyen dan sesekali menjerit menyuruh kami diam atau bersorak kerana Muhammad Ali masih juara dunia lagi!.
Di belakang bilik darjah ada akuarium yang diletakkan di atas meja. Air akuarium dah hitam legam sesekali ikan puyu akan menggesel badan pada dinding kaca akuarium.Akuarium itu telah wujud sejak hari pertama persekolahan. Ada juga kawan-kawan yang nakal membuang pensel atau pemadam ke dalam akuarium.
Darjah satu ke darjah dua , murid-murid tetap di dalam kelas sama , 2E...bersambung
(Gambar : Murid-murid Darjah 1E dengan guru kelas Puan Lopez , selesai program motivasi kepada murid-murid Tahun 6 di MBS.bersama Guru Besar Dr.Fuadi , kawan-kawan sekolah datang 'support' Hari Kantin MBS dan Reunion kawan-kawan MBS 1974-1979)..

Comments
Post a Comment