EPISOD : DARJAH 2E

1975 aku naik darjah 2E. Kawan-kawan yang sama .Cuma guru kelas sudah bertukar 'batton' dengan Cikgu Kaur. Setiap hari berpakaian sut Punjabi. Orangnya lemah lembut . Bertubuh kurus dan tinggi lampai. Sentiasa murah senyumannya. Ayahku akan berjumpa guru kelas setiap kali aku naik kelas dan memberitahu sesuatu kepada guruku. Aku tidak tahu apa yang diberitahunya. Walaupun ayahku tidak pernah bersekolah tetapi dia bersungguh-sungguh benar tentang pelajaran. Itulah ayahku.

Kalau semasa darjah 1 kebanyakan kawan baru saling mengenali tetapi naik darjah 2 dah pandai berkawan. Paling tidak tahan , aku kerap kehilangan pensel, pemadam dan pembaris. Ibuku akan menggantikan alat tulis baru setiap kali hilang di sekolah. Aku paling minat mata pelajaran lukisan. Nama guru lukisan pula aku dah lupa . Barang kali, sedikit bakat di dalam diriku membuatkan aku meminati mata pelajaran seni.
Lukisan-lukisan yang cantik hasil karya murid-murid akan ditampal di dalam 'notice board' bercermin di tepi tangga sekolah . Lukisan murid darjah 2 hanya ditampal pada dinding belakang bilik darjah saja. Banyak mata akan melihat lukisan-lukisan yang tertampal dan silih berganti setiap bulan.
Dulu-dulu , lukisan yang dihasilkan banyak berasaskan bahan-bahan mentah seperti kentang , batang pelepah pisang atau daun. Lukisan corak dan abstrak paling diminati selain lukisan menggunakan biji saga , batang aiskrim, straw atau batik. Jadi, setiap kali mata pelajaran lukisan , aku lebih bersungguh-sungguh belajar.
Di tepi padang sekolahku terdapat sebatang pokok besar . Akar-akarnya timbul dari permukaan tanah dan dijadikan tempat duduk. Apabila tuba jadual lukisan , kerusi akan diheret sama ke bawah pokok itu. Di situlah ,aku dan kawan-kawanku melukis. Seingat aku , semasa darjah 5 aku telah menghantar lukisan seekor harimau belang sempena Hari Kanak-kanak Sedunia . Lukisan-lukisan itu dihantar ke pertandingan yang berpusat di Korea. Bukan semua murid berpeluang tetapi beberapa murid saja dipilih termasuklah aku.
Selepas beberapa bulan , keputusan pertandingan lukisan telah diumumkan . Aku tidak mendapat sebarang hadiah hanya sijil penghargaan. Salah seorang kawanku mendapat medal. Namun ,aku puashati kerana terpilih menyertai pertandingan itu. Lukisan Sang Belang aku siapkan jam 2 pagi!
Waktu rehat paling menggembirakan. Apabila saja loceng berbunyi semua murid berlari ke kantin dan berebut-rebut membeli makanan dan minuman. Mi rebus makcik kantin paling 'umph'. Sehingga hari ini , belum lagi terjumpa mi rebus sesedap mi rebus makcik kantin sekolah MBS. Kalau kerusi meja kantin sudah penuh aku dan kawan-kawan berlonggok makan di tepi longkang kantin.
Selesai waktu rehat , bunyi loceng terus berlari ke bilik darjah tapi kena beratur di luar pintu sehinggalah guru kelas datang baru boleh masuk bilik darjah. Begitulah rutin harian persekolahan sehinggalah peperiksaan akhir tahun tiba. Semasa darjah 2 apalah sangat tahu pasal peperiksaan cumanya kena jawab soalan betul- betul. Baca banyak kali baru jawab. Kata ibuku sambil menyikat rambutku belah tepi sebelum pergi ke sekolah . Aku mengangguk faham.
Pesanan itu kupegang kejap-kejap di dalam hati. Jadi, semasa menulis jawapan aku sangat cermat . Ada kawan aku yang kerap menjilat pemadam getah apabila memadam jawapan yang salah menyebabkan kertas jawapannya berlubang . Selalunya , guru yang menjaga peperiksaan akan memberikan kertas ganti yang baru. Kertas jawapan berbungkus di dalam bungkusan kertas coklat yang digam. Sehelai demi sehelai dikeluarkan dan diletakkan di atas meja. Bukan susah sangat pun , cuma tulis ABC huruf besar huruf kecil dan diwarnakan mengikut titik-titik yang sudah tersedia pada kertas soalan. Kemudian , mata pelajaran Ilmu Hisab 1+1 , 2+2 dan sifir mudah .
Barang kali juga aku jenis kuat menghafal banyak soalan aku dapat menjawab dengan baik. Usai peperiksaan guru akan menyemak di mejanya dan dikelilingi murid-murid. Jadi, bukan rahsia markah peperiksaan. Malahan, kawan-kawanku akan menjerit memberitahu markah yang diperoleh dalam peperiksaan. Kalau tak silap aku mendapat tempat kedua di dalam kelas.
Akhirnya , dari darjah 2E aku naik darjah 3C..meluncur macam roket !..bersambung




Comments

Popular posts from this blog