Episod : TEWAS

Sejak 4 April 2025 yang lalu aku mengalami demam panas dan batuk-batuk pada sebelah petang. Mata dan mulut berasa panas. Batuk bukan sekali dua tapi berterusan. Aku mengambil 2 biji Panadol namun tidak berkesan . Kebetulan , pada hari itu tiada kelas tuisyen jadi aku membersihkan taman dan menyapu sampah untuk mengeluarkan peluh.
Tidurku malam itu sangat tidak lena. Aku kerap terjaga dan membuang air kecil berulang-ulang kali. Sehinggalah menjelang Subuh. Niat di hati hendak ke masjid Subuh itu tapi aku khuatir tiba-tiba rebah. Aku bersolat di rumah saja. Sekali lagi ,aku mengambil 2 biji Panadol.Sekejap saja demam rasa kebah tapi kemudian panas semula. Aku bersiap-siap untuk ke kelas personal di bandar Klang pukul 9.00 pagi. Aku gagahkan diri memandu kereta dan usai mengajar aku terus pulang ke rumah kerana tuisyen 'online' bermula pukul 11.00 pagi. Rasa mengantuk dan penat bersilih ganti
Usai tuisyen 'online' aku berbaring di sofa. Tapi badanku berpeluh-peluh dan tidak selesa. Bermula pukul 1 petang hingga 4 petang, aku memulakan tuisyen 'online' dengan seorang murid dari N9. Itupun aku kerap berhenti mengajar kerana batuk yang tidak henti-henti. Pukul 4 petang , selepas solat Asar aku mengambil 2 biji Panadol dan terlelap di sofa. Waktu Maghrib aku terjaga dan tuisyen malam bermula pada pukul 8.00 malam. Aku tidak berselera makan dan aku tidur dengan perut kosong. Mataku sukar untuk lelap. Malam itu aku tidur dengan kaki sebelah di atas katil sebelah lagi di lantai. Sepanjang malam itu, kakiku kejang yang amat.
Masuk Subuh , aku solat di rumah . Aku terlelap selepas Subuh kerana terlalu mengantuk dan penat. Pukul 9.00 pagi aku masuk tuisyen sehingga jam 1.00 petang. Aku dan isteri ke Shah Alam untuk menghadiri majlis rumah terbuka adikku. Hujan turun sangat lebat. Aku meredah hujan tanpa payung. Ini juga salah satu kelemahan aku yang menjadi punca demam. Kepala kena hujan. Deria rasa aku semakin kurang. Semua makanan yang aku makan berasa 'tawar' kerana masalah batuk yang berpanjangan merencatkan deria rasa lidahku.
Pulang ke rumah sekitar 5.00 petang dan aku terus berehat di ruang tamu menanti Maghrib. Malam itu, ada jamuan raya dan sambutan 'birthday' adik ipar di Hotel Concorde. Hendak tak hendak kuturutkan juga ke majlis di hotel. Selera makanku semakin menurun. Aku makan sekadar mengelakkan lapar. Pulang ke rumah , aku tidur sekitar jam 1.00 pagi kerana masalah aku ialah kesukaran tidur sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Doktor pernah mencadangkan ubat tidur tetapi aku menolak.
Kakiku kejang sepanjang malam kali ini kedua-dua kaki. Sakit yang amat. Aku terfikir untuk mengejutkan anak bujangku untuk ke klinik tapi keesokan hari bekerja akan mengganggu rehatnya . Sehingga Subuh aku tidur-tidur ayam dalam keadaan duduk . Keesokan pagi , aku membawa isteriku untuk 'appointment' di HBTAR . Nombor giliran yang lama terpaksa ditempuhi dengan sabar. Hampir 2 jam menanti barulah sampai giliran isteriku. Doktor memberikan tarikh untuk berjumpa pakar Neurologist.Rekod fisio yang dijalani isteriku sebanyak 4 kali menunjukkan isteriku gagal mencapai objektif.
Sepulang dari hospital, aku mengambil 2 biji Panadol dan tertidur di sofa. Aku membatalkan kelas tuisyen petang itu. Tapi tuisyen kelas malam kuteruskan jua. Minggu ini kelas tuisyen baru dibuka kerana bercuti raya pada minggu lepas. Usai tuisyen jam 10.00 malam aku menyambung kerja menyiapkan set soalan 'exam' ' yang akan berlangsung pada minggu akan datang. Sekitar jam 1.00 pagi, kerjaku hanya dapat disiapkan separuh. Aku masuk tidur sekitar jam 1.30 pagi. Namun, demamku masih belum kebah. Aku membasahkan tuala kecil dan menyelubung kepalaku dengan tuala. Penghawa dingin aku tutup dan memasang kipas.
Selepas Subuh, aku bersiap-siap untuk ke sekolah. Sepanjang jalan ke sekolah yang tak sampai 15 minit dari rumah aku mengalami batuk yang agak teruk. Sesampai di sekolah aku mengenakan 'face mask ' untuk keselamatan warga sekolah. Ujian COVID yang kubuat semalam menunjukkan garisan negatif. Di dalam kelas, aku terbatuk-batuk. Aku tidak menutup penghawa dingin kerana bimbang pelajar-pelajar aku tidak selesa. Pelajar-pelajar sedang sibuk mengadakan 'rehearsal' untuk jamuan Hari Raya pada hari Jumaat. Pulang dari sekolah , aku menyambung tugas mengajar di sebuah pusat tuisyen sehingga jam 10.30 malam. Semangatku masih ada tapi tubuhku sudah ' hilang tenaga'. Aku terfikir untuk ke hospital tetapi memandangkan kerja masih banyak aku cuba bertahan lagi.
Tidurku terganggu. Badanku panas. Aku menelan ubat demam dan ubat batuk yang dibeli anakku malam itu. Batuk tidak berkurangan ditambah dengan kekejangan kaki. Kahak yang terkumpul sudah berbunyi seperti 'visel' . Setitik kahak pun tak keluar walaupun aku cuba batuk dengan kuat. Sekejap duduk sekejap berdiri. Hari Rabu, aku sudah ada janji temu di Klinik Pergigian Aneka Klang.Aku termengah-mengah untuk sampai ke klinik kerana jarak parkir kereta agak jauh. Aku meminta tangguh kerana keadaanku yang sedang demam dan batuk tidak sesuai untuk melakukan 'treatment'. Tarikh baru diberikan.
Aku menyelesaikan urusan di beberapa buah bank sehingga jam 3 petang. Aku berehat di ruang tamu selepas mengambil ubat dan ubat batuk lalu terlelap. Pada pukul 5.00 petang aku masuk kelas sehingga jam 10 malam. Usai tuisyen aku cuba mengisi perut dengan mi goreng dimasak anakku tapi tekakku hilang selera makan. Aku menyambung kerja menyiapkan soalan 'exam'. Sekitar jam 11.30 malam, seorang lelaki mengetuk pagar besi di luar. Pemandu sebuah van jenazah meminta bantuan untuk meminjam 'jumper' kereta. Akhirnya, bateri van jenazah dapat dihidupkan . Jam menunjukkan pukul 12.30 malam. Aku menyambung kerja yang tertunda tadi.
Pukul 2.00 pagi, baru aku masuk bilik tidur. Seperti semalam aku membungkus kepalaku dengan tuala basah. Kakiku kejang lagi . Selepas Subuh, aku ke sekolah. Pelajar-pelajar di dalam kelas menyapa aku kerana aku kelihatan keletihan. Mereka menyuruh aku duduk sambil mengajar. Selesai makan tengah hari di sebuah warung aku terus pulang ke rumah . Kemudian, mula mengecat kerusi-kerusi di taman yang tergendala. Aku terbatuk-batuk tapi kali ini agak keterlaluan. Aku berlari ke dapur kerana berasa hendak muntah. Aku terbatuk sambil muntah. Aku sudah tidak boleh berdolak-dalih. Aku mengajak isteriku ke klinik di sebelah taman perumahanku yang biasa aku pergi mendapatkan rawatan.
Doktor Ravi bertanya banyak soalan dan menegur aku kerana lambat datang untuk rawatan. Aku sudah lama mengenali Doktor Ravi kerana klinik dia menjadi klinik panel staf pusat tuisyen aku. Degupan jantungku kencang melebihi 135 dan bacaan BP meningkat 189 .Doktor meminta aku terus ke hospital kerana oksigen ke otak boleh berhenti tiba-tiba. Doktor menulis surat 'reference' ke hospital swasta. Doktor mencadangkan aku ke Bukit Tinggi Medical Centre yang tidak jauh dari klinik dan tidak membenarkan aku memandu sendiri ke hospital kerana bimbang aku akan pengsan. Kepalaku sangat pening.
Doktor hendak menelefon ambulans tetapi aku sudah menghubungi anakku untuk membawaku ke hospital. Doktor akan 'menjaga' kereta yang aku parkir di hadapan kliniknya. Akhirnya, Mukriz menecut laju ke KPJ Shah Alam kerana di KPJ semua rekod perubatan aku 'A to Z' ada. Aku dibawa terus ke 'red zone' dan segala wayar dipasang untuk mengelakkan serangan jantung atau 'stroke'. Mereka mempunyai sejarah perubatan aku di situ dan doktor-doktor yang pernah merawatku. Kali terakhir aku dimasukkan ke hospital hujung tahun lepas untuk rawatan injap jantung tersumbat dengan Dr.Norfaizan. Seorang doktor 'on call' di bilik 'emergency' sentiasa berbual-bual dengan aku dan bertanya itu ini. Doktor tidak mahu aku tertidur di atas katil yang dikelilingi bermacam-macam mesin. Kemudian , aku menjalani ujian x-ray yang dibuat di bilik 'emergency'. Sementara menunggu keadaan aku stabil, anak , cucu dan menantu dah sampai di hospital dan mereka dibenarkan masuk melawatku. Aku menyuruh Mukriz membawa ibunya pergi makan kerana selepas tengah hari tadi kali terakhir kami makan. Jarum jam dinding menunjukkan pukul 9.00 malam. Perutku sudah berkeroncong tetapi aku hanya meminta air daripada jururawat yang bertugas. Sekitar jam 9.30 malam aku dibawa naik ke wad. Semua ubat diberikan dan Doktor Amin yang pertama kali aku jumpa sampai di bilik sekitar jam 11.00 malam.
Selepas mendengar taklimat rawatan secara ringkas, Doktor Amin akan kembali berjumpa aku keesokan hari. Di bilik dapatlah aku membersihkan diri, solat dan makan. Isteriku menemani aku manakala anak, cucu dan menantu pulang ke rumah masing-masing kerana esok hari bekerja. Aku menghantar Whatsapp kepada CEO sekolah dan Pengetua bahawa aku tidak dapat hadir ke Jamuan Hari Raya keesokan hari. Mereka menghulurkan rasa simpati dan berpesan kepada aku sekiranya memerlukan apa-apa bantuan supaya memberitahu mereka segera. Aku tertidur tetapi jururawat keluar masuk memeriksa tekanan darahku yang sudah turun 160 dan bacaan gulaku naik mendadak kepada 14. Kebiasaannya bacaan gulaku sekitar 6-7 sahaja. Malam itu aku tidur nyenyak.
Sarapan dihantar ke bilik dan seorang petugas mengambil pesanan makan tengah hari dan malam untuk hari itu. Jururawat silih berganti keluar masuk dan seorang fisio telah melakukan rawatan menepuk-nepuk belakang aku untuk mengeluarkan kahak. Dia juga mengajar aku cara bersenam untuk membuka saluran paru-paru. Aku juga menggunakan alat bantuan oksigen setiap 2 jam. Aku juga diajar menggunakan 'inhaler' seperti penghidap asma. Batukku masih berterusan . Pada sebelah petang dan malam anak, cucu dan menantu datang membawa makanan dan berbual-bual di bilik. Selepas mereka pulang, aku tidur seperti biasa.
Malam ini aku dirawat oleh jururawat yang merawat isteriku sebelum ini, Alia. Kami berbual-bual mesra. Alia akan menjaga aku mengiku shif bekerjanya. Mukriz datang membawa burger dan nasi goreng untuk ibu ayahnya. Esok aku akan menjalani ujian fisio dan lawatan Doktor Amin. Petang tadi , semasa Doktor Amin datang melawat dia menyuruh aku bertanya apa-apa yang aku ingin bertanya.
" Saya nak tanya bila boleh balik ? Di sini saya tak boleh duduk saja. Di rumah saya boleh bekerja". Doktor Amin tersenyum hampir ketawa.
" Tak boleh. Kahak tuan masih banyak," jawab doktor sambil tersenyum dan berjalan keluar.
Nampaknya, lambat lagilah boleh balik. Sabar je la...

Comments

Popular posts from this blog