Episod : Menjelang Syawal

Terkenang zaman 90-an dulu. Tiga orang puteriku sudah menanti kepulanganku di muka pintu. Semalam aku sudah berjanji untuk membawa mereka membeli pakaian dan kasut baharu. Mereka masih belum mengerti apa-apa. Di dalam kocek seluar aku hanya ada seratus dua. Wang gaji yang kuterima daripada majikan. Tiada bonus raya hanya sehelai kain pelikat sebagai cenderamata.
Mereka yang ketika itu berumur antara 2-5 tahun melompat-lompat gembira melihat aku turun dari bas awam yang berhenti tidak jauh dari rumah sewaku. Isteriku turut tersenyum melihat gelagat anak-anakku. Belum sempat aku menanggalkan kasut, mereka sudah menuntut janjiku semalam.
" Ayah bawa pergi beli baju raya," jawabku apabila puteriku yang sulung meminta kepastian. Wajah mereka berseri-seri kerana hari itu mereka akan membeli baju raya.
Selepas bersiap-siap, kami menunggu bas di tepi jalan untuk ke Pasaraya Great Wall, Klang. Pasaraya yang terkenal di bandar Klang terletak di atas perhentian bas Klang-Banting. Aku duduk dengan dua puteriku dan isteriku bersama seorang lagi puteriku yang bongsu. Sesampai di perhentian bas, kami menaiki tangga ke Pasaraya Great Wall. Orang ramai berpusu-pusu naik dan turun dari bas. Suasana hiruk-pikuk ditambah bunyi hon bas bersimponggang.
Aku memilih pakaian raya anak-anakku yang berlonggok di dalam bakul. Harga mampu beli. Masing-masing mendapat dua pasang baju dan sepasang kasut baharu. Aku tidak membeli apa-apa kerana pakaian bekerja aku sudah cukup dipakai semasa hari raya. Untuk isteri kubelikan sepasang baju kurung dan sepasang kasut yang berlonggok di dalam bakul.
Selesai membeli-belah, aku singgah di gerai menjual minuman di bawah tangga perhentian bas dan membeli beberapa bungkus air balang untuk menghilangkan dahaga sambil menunggu bas untuk pulang ke rumah. Wajah anak dan isteri begitu ceria. Lagu raya berkumandang dari corong pembesar suara beberapa buah kedai yang berdekatan perhentian bas.
Beberapa hari yang lalu, isteriku meminta dibelikan kerusi baharu kerana di rumah sewa kami tiada set kerusi . Selama ini hanya duduk di atas lantai. Aku hanya bersetuju dan akan singgah di Kedai Perabot Soon Huat untuk membeli set kerusi kayu . Sebelum ini aku sudah pernah berhutang membeli almari dapur di Kedai Perabot Soon Huat. Beberapa hari lagi Hari Raya Aidilfitri akan menjelang tiba dan kenangan lalu tidak pernah kulupakan .Semua pengalaman itu mengajar aku tentang harga sebuah kehidupan.

Comments

Popular posts from this blog