Episod : TOYOL
Kegelisahan para penduduk di sebuah kampung di Banting membawa kepada kehadiran aku dan bapa mentuaku ke situ. Kami dijemput oleh penduduk kampung itu untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Sesampai di kampung itu, kami disambut oleh Ketua Kampung dan beberapa orang penduduk kampung seperti biasa aku diperkenalkan oleh bapa mentuaku sebagai menantunya. Selepas bersalam-salaman, kami dijemput naik ke rumah Ketua Kampung. Kami duduk di atas lantai papan ruang tamu sambil dikelilingi penduduk kampung yang hadir sama.
Perbualan antara bapa mentuaku dan penduduk kampung tidak aku fahami kerana mereka berbual menggunakan bahasa Jawa. Masing-masing mendengar buah tutur kata bapa mentuaku dengan teliti.
"Mungkin orang kampung sini punya kerja," celah salah seorang penduduk kampung.
Bapa mentuaku hanya mendengar dengan teliti. Bapa mentuaku diam seketika seperti ada sesuatu yang sedar difikirkan.
"Tak boleh tuduh-menuduh dalam hal ini, ya. Kita berusaha sahaja. Insyallah kalau dizinkan Allah semuanya selamat," ujar bapa mentuaku.
"Mintakan saya sebatang lidi," pinta bapa mentuaku. Salah seorang ke dapur dan membawa sebatang lidi.
Ketua Kampung disuruh duduk berhadapan dengan bapa mentuaku. Lidi itu diletakkan di lantai. Ketua Kampung disuruh mengukur lidi itu dari jari kelinking hingga ibu jari. Lidi itu kemudian dipatahkan mengikut ukuran jari Ketua Kampung tadi. Aku mengambil lidi itu dan kemudian meletakkan semula di sisiku. Sekali lagi lidi diukur semula oleh Ketua Kampung. Kali ini lidi terlebih panjang daripada ukuran asal tadi. Tujuan kegunaan ukuran lidi itu adalah untuk memastikan sama ada gangguan itu boleh dihapuskan atau tidak.
"Kita usahakan saja tapi Allah yang izinkan. Saya ni bukan pandai sangat cuba-cuba saja. Saya ni kartun saja. Menantu saya lagi pandai dia ini kerja Cikgu," ujar bapa mentuaku sambil ketawa kecil. Mereka yang hadir tersenyum-senyum memandang aku. Bapa mentuaku memang suka bergurau dan mengusik kerana hatinya sangat baik.
Beberapa ayat Al-Quran dibaca perlahan-lahan dan diperhatikan mereka yang duduk berkeliling. Sesetengahnya terkumat-kamit tapi aku tidak tahu apa yang dibaca oleh mereka. Namun, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebenarnya menjadi pendinding diri kita daripada niat khianat orang lain.
Masing-masing menanti kata-kata yang akan keluar dari mulut bapa mentua aku.
"Beginilah memang ada gangguan di kampung ini ," ujar bapa mentuaku dengan suara perlahan seperti gaya W.D. Mochtar aktor hebat Indonesia.
" Apa itu ,Wak ?," tanya seorang penduduk.
" TOYOL"
Masing-masing terdiam dan memandang sesama sendiri.
"Jadi, sekarang macamana ,Wak?," tanya seorang lagi.
" Insyallah sudah selesai. Nanti dia cari tuannya semula ," kata bapa mentuaku.
" Macamana nak tahu siapa yang punya ?," tanya seorang lagi penduduk.
"Kita tak perlu tuduh-menuduh," ujar bapa mentuaku mengulangi kata-katanya tadi.
" Nanti dia sendiri tahu," sambung bapa mentuaku.
Selesai semua tugasan, aku dan bapa mentuaku memohon diri. Kami dihantar sampai ke pintu kereta. Kami bersalam-salaman. Aku ternampak seorang lelaki sedang berdiri di tepi jalan seperti tertinjau-tinjau melihat kami yang beramai-ramai di halaman rumah Ketua Kampung. Lelaki itu tergesa-gesa meninggalkan tempat itu setelah ternampak aku memerhatikannya.
Sejak hari itu, tiada lagi kedengaran penduduk kampung kehilangan duit. Penduduk kampung berterima kasih kepada bapa mentua aku kerana menolong mereka menyelesaikan masalah yang membelenggu kehidupan mereka. " Carilah rezeki yang halal kerana yang halal itu mempunyai keberkatan"..
Comments
Post a Comment