Episod : Secebis Pengalaman..
Kalau hendak diukur pengalaman hidup saya dengan ahli-ahli grup SMDD jaraknya terlalu jauh. Usia saya belum lagi dikategorikan warga emas tetapi pengalaman yang saya timba setara emas.
Bermula daripada tiada kepada ada. Daripada tiada berharta sekarang adalah sedikit harta. Mula-mula menikah tahun 1989 dulu, cabarannya amat berat. Apatah lagi, sewaktu mengenali orang rumah saya sendiri tidak tahu kedudukan keluarganya sehinggalah seorang rakan arwah bapa memberitahu bahawa keluarga orang rumah kategori bangsawan ( orang berharta di kampung ).
Patutlah semasa berkawan, orang rumah asyik bertanya sama ada saya ini seriuskah atau sekadar berkawan. Tambahan lagi, ibu bapanya juga sering mendesak supaya saya segera memberikan kata putus ' Ya' atau 'Tidak'. Suatu hari, setibanya saya di muka pintu rumah selepas balik dari sekolah, ibu bapa orang rumah sedang bersembang dengan ibu bapa saya. "Aduh ! Apa hal pulak ni, " bisik hati saya.
Setelah mereka pulang, barulah ibu bapa saya memberitahu saya tujuan 'Pakcik' dan 'Makcik' yakni ibu bapa orang rumah saya datang untuk merancang pertunangan saya dengan bakal orang rumah saya. Hendak tak hendak saya kata 'setuju' sedangkan saya belum lagi bersedia kerana gaji saya pada masa itu hanya RM220.00 sebulan . Nak bagi anak orang makan , nak sediakan itu ini , mana nak cari duit.
Selepas kunjungan mesra itu, saya ada berbincang dengan isteri saya tentang majlis pertunangan dan seterusnya majlis perkahwinan kami kelak. Akhirnya, kami membuat keputusan untuk membeli barang-barang hantaran menggunakan duit masing-masing. Saya beli barang-barang saya. Bakal isteri membeli barang-barangnya sendiri. Adillah kot.
Tidak lama kemudian, kami pun bertunang ala kad bukan ala kadar lagi. Tempoh bertunang pun tak lama. Saya terdengar juga khabar dari orang kampung sebenarnya ada teruna anak orang kaya yang menjadi pilihan ibu bapa orang rumah saya. Tapi, kalau dah jodoh tak ke mana. Akhirnya, pada 28 Julai 1989 kami disatukan dan saya dinikahkan oleh bapa mentua saya yang terkenal di kampung dengan panggilan Wak Aji. Kalau di kampung Kancong Darat, kampung lama keluarga orang rumah saya tinggal dulu, bapa mentua dikenali sebagai Kiyai Saleh. Ada sebuah surau dibina dan diberikan nama atas nama bapa mentua. Tak taulah masih ada lagi ke tidak surau lama itu.
Jadi, bermulalah kehidupan berumahtangga saya dan isteri pada ketika itu usia saya 22 tahun dan isteri 21 tahun. Muda sangat. Ada juga kedengaran suara-suara sumbang dan mambang kononnya perkahwinan saya akan bermasalah kerana kami masih muda. Walaupun saya masih muda tetapi saya sudah berasa diri saya cukup matang kerana pada masa itu saya sudah memegang beberapa tanggungjawab kepada keluarga sebagai anak lelaki sulung. Manakala, di sekolah , saya sudah memegang jawatan sebagai guru disiplin dan Penolong Pengetua . Jadi , pengalaman itu menjadikan saya yakin bahawa saya mampu mengemudikan rumahtangga dengan baik.
Di awal usia perkahwinan, banyak perkara saya kena belajar dan kadang-kadang menangis sendiri. Kenapa ? Saya Melayu Kelantan manakala isteri Melayu Jawa sudah tentu banyak perbezaannya khusunya dari segi pemakanan. Saya diperkenalkan dengan masakan bening , gereh, dan sambal belacan. Hampir menitik air mata kerana ibu mentua tidak memasak masakan gulai seperti ibu saya di rumah. Walaupun sudah berasa diri ini matang tetapi bab makanan saya kalah. kadang-kadang sebelum sampai di rumah mentua kerana saya dan isteri tinggal bersama-sama mentua , saya sudah mentedarah di kedai mamak. Pulun sakan, kata orang Utara.
Begitulah setiap hari. Lama-kelamaan, saya berasa sedap pula masakan bening, gereh, sambal belacan. Isteri memanglah 'teror' bab memasak. Anak dara kampungkan serba serbi boleh. Memasak, menjahit, mengemas rumah, melayan suami serba lengkap dan sempurna. Hanya pada hujung minggu, saya dan isteri menaiki bas pulang ke rumah ibu bapa saya kerana saya dan isteri tidak bekerja. Sempatlah saya bertanya khabar dan menghulur sedikit sumbangan kepada ibu bapa walaupun kalau dicampur gaji saya dan isteri di kilang tak sampai RM500.00 sebulan.
Comments
Post a Comment