Episod : GERAM
Sudah berulang kali aku perhatikan perangainya yang suka menyepahkan makanan. Setiap kali selepas makan aku terpaksa menyinsing lengan baju membersihkan sisa-sisa makanannya. Apabila aku menengkingnya mukanya ditundukkan ke lantai. Minta simpati. Ah, aku sudah tidak peduli lagi kalau masih tidak berubah akan kupukulnya. Tiada lagi belas kasihan .
Tidak pernah kurang perhatian dan kasih sayang kuberikan. Tapi, balasannya menyakitkan hatiku. Kadang-kadang aku bertindak mengurungnya di dalam bilik. Tiada makanan atau minuman. Biarlah berlapar sepanjang hari. Puashati aku melihatnya begitu . Itu saja cara untuk mengajarnya berdisiplin.
Pagi tadi, kudengar gelas di sinki pecah. Ini kali ketiga dalam seminggu gelas pecah. Aku renung matanya dan seperti biasa mukanya dilarikan meminta simpati aku. Aku mencapai penyapu lidi dan kali ini balinganku tepat terkena badannya. Puashati aku.
Walau apapun kekerasan yang aku gunakan untuk mendisiplinkannya tidak sedikit pun meninggalkan kudis.Malah, bermacam-macam kerenahnya menguji kesabaranku. Tapi, jauh di sudut hatiku masih menyayanginya . Ada juga aku terfikir untuk membuangnya dan aku tidak lagi mahu menanggung sakit kepala memikirkannya. Biarlah aku akan kehilangannya selama-lamanya.
Aku sudah nekad. Petang ini aku akan membuangnya. Sesampai di muka pintu kakiku disondol-sondolnya. Terbit pula rasa sayang kepadanya. Kakinya menyapu-nyapu muka berulang-ulang kali. Aku memeluknya dengan penuh rasa kasih sayang yang mendalam. Niatku terus terbantut. Aku berazam untuk memeliharanya.
" Jangan nakal-nakal lagi Kelly", kataku sambil memeluknya lebih erat. Kelly mengiau-ngiau manja.
Comments
Post a Comment