Episod : CERITA TENTANG KAWAN
Bukan aku sengajakan kerana ketika itu aku masih belum begitu matang tetapi tanpa kusedari perbuatanku itu sebenarnya telah melukakan hatimu, Y. Sebatang pen pemberianmu kupulangkan tanpa sebab melalui seorang kawan. Kukira itu hanyalah satu pemberian biasa daripada seorang kawan kepada seorang kawan.
Maafkan aku andainya sikapku itu telah melukakan hatimu, Y . Aku benar-benar tidak menyedari perbuatanku itu. Tika itu, kita hanyalah kawan biasa. Tiada ungkapan cinta atau sayang yang terbit dari bibirmu, Y . Begitu juga aku. Kita hanyalah kawan. Namun jauh di sudut hatimu, engkau ada menaruh perasaan terhadapku. Aku benar-benar tidak menyedarinya, Y.
Walaupun memori itu sudah lama ditelan masa tetapi tatkala kita terserempak tanpa disengajakan , kau membuka memori itu semula . Kata kau ," Awak tidak patut memulangkan pemberian saya dulu". Aku seakan-akan tersedar daripada mimpi tatkala mendengar kata-kata itu terpacul dari mulutmu, Y . Tiada ungkapan yang dapat kubalas saat kau melampiaskan kata-kata itu. Getar suaramu sudah cukup memberikan pengertian kepadaku bahawa kau pernah menyimpan rasa sejak sekian lama. Aku tidak pernah menduganya, Y.
Maafkan aku, Y. Aku benar-benar rasa bersalah kini. Pada aku, hadiah pemberianmu itu hanyalah daripada seorang kawan kepada kawan semata-mata. Tika itu, usia kita masih di remang remaja. Semuanya sudah tertulis tentang mula dan akhir antara kita. Andai kutahu , tika itu kau ada menaruh hati terhadapku barang kali aku tidak akan mensia-siakanmu. Semuanya sudah berlalu dan tak mungkin berulang kembali.
Takdir itu kepunyaan Allah dan kita sebagai hamba-Nya harus menerima takdir itu dengan hati yang lapang. Kutahu kau tidak pernah membenci diriku,Y. Kusedar kau terkilan dengan sikapku itu tetapi kau tidak meluahkannya dulu tetapi kenapa sekarang, Y ?. Semoga kau dapat menerima aku semula sebagai seorang kawan . Dan aku juga tetap menganggap kau sebagai seorang kawan yang baik seperti mula-mula kita berkenalan. Dulu kita terpisah dan kini kita bertemu kembali sebagai seorang kawan. Maafkan aku , Y !
Comments
Post a Comment