Episod: Bundle

Aku mula bekerja secara 'official' sebagai guru sekolah swasta pada bulan April 1987. Itulah pekerjaan rasmiku kerana sebelum itu aku bekerja sebagai "cleaner" di sebuah pejabat kerajaan di Pelabuhan Klang. Sehingga hari ini, aku berasa sedikit kesal kerana tidak memohon pekerjaan di situ itu sedangkan setiap hari tugasku membersihkan bilik Ketua Pengarah, Dato Hashir. Kira sudah ada kabel kuat. Pada masa itu, ketua jabatan pun hanya berkelulusan SPM sedangkan aku sudah memiliki STPM. Bukan rezeki aku di situ.
Apabila mendapat tawaran bekerja sebagai guru, perkara pertama yang bermain di fikiranku ialah pakaian dan kelengkapan lain. Ibuku mencari baju kemeja dan 'terjumpa' sehelai kemeja lengan panjang berwarna coklat cair. Walaupun agak menggelebeh kerana saiz badanku hanya 50kg. Masalah seluar terpaksa aku ke Great Wall Pelabuhan Klang untuk membeli seluar dengan saiz pinggang 22-23sm. Akhirnya, dapat juga sehelai seluar warna kelabu tahi anjing dan percuma tali pinggang jenis kain.
Kasut berwarna kelabu jenis kanvas-kulit dijual secara longgok . Pilih punya pilih dapatlah sepasang kasut yang sesuai dengan saiz kaki aku. Itulah sepasang baju kemeja, seluar dan kasut yang dipakai berulang kali sementara menunggu gaji bulan pertama, RM220.00.
Baju, seluar dan kasut ' bundle' paling murah pada masa itu walaupun warna dan saiz lebih kurang sama ada berkenan atau tak. Terpaksa. Tali leher diwajibkan pakai dan ada dijual murah-murah corak batik. 'GF' pun lari kerana tak bergaya langsung. Gaji pun cukup makan. Ah, lantaklah.
Sebulan kemudian, barulah dapat membeli baju, seluar yang lebih elok di Great Wall, Klang atas stesen bas Klang-Banting. Sebahagian gaji aku berikan kepada ibuku. Sebahagian lagi, duit belanja aku makan minum dan tambang bas ulang -alik dari Pelabuhan Klang ke Klang. Kebetulan pihak sekolah membenarkan guru-guru dan kakitangan sekolah 'berhutang' di kantin sekolah dapatlah aku berjimat-cermat. Cukup bulan buku 3x5 akan 'dibentangkan' dan potongan gaji untuk membayar makan dan minum. Gaji tinggal ciput setiap bulan. Kalau kata nak menyimpan gaji tidaklah. Makan minum pun berhutang.
Pangkat guru itu pada panggilan tetapi derita untuk menyara keperluan harian sangat azab . Sehinggalah, aku bertemu jodoh pada tahun 1989, barulah ada sedikit perubahan . Kebetulan orang rumah bekerja sebagai kerani dapatlah menambah sedikit duit saku. Hanyalah selepas 2 tahun berkahwin, barulah mampu membeli sebuah motosikal 'second' jenama YAMAHA CD-i.
Pengalaman membeli pakaian 'bundle' untuk keperluan bekerja sangat berharga. Dari situ aku belajar bersyukur dengan apa yang ada seadanya.

Comments

Popular posts from this blog