Episod: Mr.K ( Yang kukenali)
Persahabatan kami bermula sekitar tahun 1987. Ketika itu, aku sedang hangat bercinta dengan kekasihku yang kebetulan bekerja di syarikat Mr.K sebagai kerani. Syarikat Mr.K membekalkan peralatan mesin fotokopi berjenama 'RICOH'. Oleh sebab, aku sering bercanda di situ untuk berjumpa kekasihku , Mr.K telah meminta aku bekerja dengannya sebagai pekerja 'part time'. Aku sebenarnya sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai guru di sebuah sekolah swasta. Tugas yang diberikan kepadaku pula ialah menulis surat-surat rasmi dan menyediakan proposal kepada jabatan serta agensi kerajaan kerana Mr.K meyakini kemahiran aku menguasai bahasa Melayu dengan baik.
Hari demi hari, aku akan ke pejabat Mr.K untuk menguruskan urusan surat-menyurat , permohonan lesen dengan PBT , SSM dan Mr.K memberikan kepercayaan penuh kepadaku bagi menguruskan syarikatnya. Sedar tak sedar barulah aku tahu bahawa Mr.K sedang melatih aku sebagai pengurus syarikatnya.
Hubungan aku dengan kekasihku amat disenangi oleh Mr.K dan selalu juga dia mengusik kami sehingga aku berasa Mr.K bukan sekadar majikan tetapi lebih daripada itu. Mr.K rendah orangnya dan mesra dengan sesiapa. Aku sering diajaknya berjumpa dengan pelanggan-pelanggannya dan aku diperkenalkan kepada mereka sebagai 'person incharge' .
Aku banyak belajar dengan Mr.K tatacara berurusan dengan pelanggannya. Setiap perbincangannya dengan pelanggan aku dengar dan aku jadikan pedoman. Mr.K ibarat mentorku dalam bidang perniagaan. Dari urusan menulis surat sehinggalah urusan membayar gaji pekerja-pekerja, bayaran KWSP dan SOCSO aku uruskan.
Kelebihan Mr.K semasa berurusan dengan pelanggannya ialah cara komunikasinya dan sikap pemurah. Mr.K tidak teragak-agak memberikan diskaun harga mesin yang dijual, bak kata orang 'kalah dulu menang kemudian' . Setelah beberapa lama aku menjadi pembantu Mr.K akhirnya aku diberikan peluang untuk menjual mesin fotokopi dengan komisen RM300 bagi setiap mesin yang terjual.
Dari situlah , aku melangkah satu tingkat ke satu tingkat anak tangga pejabat , sekolah, kementerian , kedai dan syarikat. Aku dibekalkan sebuah 'pager' yang terselit di pinggang dan ketika itu penggunaan 'pager' sudah dianggap hebat dan versatile. Aku lebih ke depan dalam urusan pemasaran kerana Mr.K tahu aku sedang giat memgumpul duit untuk melangsungkan perkahwinan dengan kekasihku.
Sikap pemurah Mr.K bukan sahaja kepada pelanggan-pelanggannya sahaja tetapi juga kepada pekerja-pekerjanya. Aku yang bekerja 'part time' juga dilayan seperti pekerja sepenuh masa. Mr.K amat berterima kasih kepadaku kerana banyak menolongnya dalam perniagaan. Dari sebuah kereta lama sehinggalah perniagaannya berkembang maju dan memiliki kereta mewah dan beberapa buah van. Kehadiranku dianggap pembawa tuah kerana pada masa yang sama aku membantunya menjalinkan hubungan syarikatnya dengan institusi kerajaan dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.
Mr.K 'melepaskan' aku membuat keuntungan dengan komisen melalui kerjasama perniagaan dengan agensi kerajaan. Dari situ juga , aku mengenali exco kerajaan dan wakil rakyat serta VVIP di GLC. Kawan Mr.K juga kawan aku dan pelanggan aku juga pelanggan Mr.K. Sikap pemurah Mr.K sebenarnya mempengaruhi diri aku semasa berurusan dengan pelanggan. Aku berjaya menjual lebih 40 unit mesin fotokopi sepanjang aku bekerja dengan syarikat Mr.K.
Akhirnya,aku mendirikan rumah tangga dengan isteriku dan selepas itu isteriku bekerja setahun kemudian sebelum berhenti bekerja. Isteriku menguruskan hal ehwal rumah tangga sepenuh masa dan aku masih bekerja 'part time' dengan Mr.K. Aku melakukan tiga pekerjaan pada satu masa ,iaitu sebagai guru sekolah, tutor tuisyen dan 'salesman' . Hubungan kami semakin rapat malah anak-anak aku dan keluarga Mr.K juga saling mengenali.
Mr.K sangat bertoleransi dalam hal tanggungjawabku sebagai umat Islam. Mr.K akan pastikan tugas aku tidak akan menghalang aku untuk bersolat. Kadang-kadang, dia mengingatkan aku supaya bersolat, " Azmi, U sudah sembahyangkah?". U tak takut nerakakah?" .Mr.K akan bergurau denganku. Setelah mempunyai 3 orang puteri, Mr.K menyuruh aku membeli rumah yang lebih selesa kerana anak-anakku semakin membesar. Mr.K akan datang melawat kami di rumah sewa kami sebuah rumah papan satu bilik. Mr.K dan isterinya akan membawa bekalan makanan kering dan basah untuk keperluan kami sekeluarga.
Akhirnya, aku berjaya memiliki sebuah rumah teres dua tingkat dan Mr.K telah membayarkan wang deposit rumah yang aku beli. Mr. K sendiri sudah memiliki beberapa buah rumah mewah dan bangunan kedai.
"Azmi, U sangat untung dapat Ida (isteriku). Pandai masak.I sukalah wife U masak rendang," kata Mr.K. Setiap kali ,Mr.K berasa hendak makan ketupat dan rendang dia akan memberiku duit untuk membeli ayam dan segala bahan masakan. Mr.K dan isteri serta anak-anaknya akan datang ke rumah kami dan menjamu selera.
Anak-anakku dan anak-anak Mr.K membesar bersama-sama. Mr.K sering memuji aku dan isteri kerana kami telah mendidik anak-anak dengan baik. Mr.K akan berbual-bual dengan anak-anakku yang belajar di universiti dalam bahasa Inggeris . Mr.K sering menyamakan wajah anak sulungku dengan wajahku seperti 'copy paste' .
Walaupun aku tidak lagi bekerja dengan Mr.K tetapi dia selalu meghubungi aku untuk menolongnya menulis surat berkaitan urusan kerajaan atau jabatan. Mr.K akan meminta pandanganku jika dia berhadapan dengan masalah pekerja. Ada pekerja yang tidak hadir kerja berbulan-bulan tanpa alasan kukuh dia tetap membayar gaji penuh.
"Kasihanlah,Azmi. Dia pun mau tanggung anak isteri makan," kata Mr.K apabila aku memberikan cadangan agar pekerja yang ponteng itu dibuang kerja.
Sewaktu aku terlantar di hospital akibat kemalangan ngeri dan hampir-hampir aku kehilangan kaki,Mr.K orang pertama tampil menghulurkan bantuan kewangan ribuan ringgit selain barang-barang keperluan makan . Aku amat terhutang budi dan terharu kepada Mr.K.
Awal pagi tadi sekitar jam 2.00 pagi, seorang bekas pekerja Mr.K menelefonku.
"Boss, Mr.K sudah meninggal dunia di London," kedengaran sayu suara di hujung talian.
"OK, terima kasih" . Aku terpaku seketika dan kenanganku dengan Mr.K sejak zaman bujang hingga beranak-pinak dan bercucu berputar laju. Air mata mengalir perlahan dan berita sedih itu kusampaikan kepada isteriku yang sudah tidur separuh malam. Kami tidak berkata apa-apa. Esok aku akan menemui anak-anak Mr.K yang memanggil aku uncle' di kediamannya. Mayat Mr.K dijangka sampai ke tanah air pada hari Selasa depan. Aku kehilangan seorang teman istimewa dan seorang 'abang' yang prihatin dan baik hati. "Selamat jalan,Mr.K."
Comments
Post a Comment