SEPANJANG JALAN KENANGAN 3
Tahun 1988 merupakan tahun kedua aku bertugas sebagai guru
di sebuah sekolah swasta di tengah-tengah bandar Klang.. Tangga gaji tahun
pertama aku masih ditakuk lama tiada penambahan. Aku juga tidak pernah meminta
sebarang kenaikan gaji seolah-olah mulutku ‘terkunci’ untuk meluahkannya.
Setiap bulan gaji kuberikan kepada ibuku untuk perbelanjaan dapur dan
adik-adikku yang masih bersekolah dan aku hanya mengambil sedikit daripada
gajiku sebagai tambang bas ulang alik dari rumah ke tempat kerja. Manakala, setiap
hujung minggu, sama ada Sabtu atau Ahad aku lebih gemar berkunjung ke
tempat-tempat yang aku sukai untuk mencari ilham atau berbasikal ke bandar
Klang.
Hari pertama mengajar aku belum mempunyai baju yang
sesuai untuk dipakai ke sekolah, Jadi, aku menyarung baju kemeja ayahku. Pada
masa itu, kesempitan hidup selepas zaman ekonomi meleset 1986 masih amat
terasa. Basikal dan motosikal merupakan kenderaan utama dan bagi yang
berkemampuan akan membeli kereta yang popular pada zaman itu seperti Datsun
Sunny atau kereta kodok. Setiap hari ke sekolah, aku membawa sebuah beg besar
umpama Doktor Ismadi di dalam filem ‘Ibu Mertuaku’ . Setiap kali pulang dari
sekolah sudah lewat petang atau malam, kacang-kacang hantu yang duduk bersidai
di tembok pagar tempat tinggalku akan melontarkan kata-kata ejekan,” Baru balik
doktor?” dan disusuli dengan deraian ketawa.
Selalunya, buku-buku latihan yang tidak sempat disemak
di sekolah akan kubawa pulang ke rumah. Bermakna, kerja aku tidak hanya di
sekolah dan selalunya hingga 1.00 atau 2.00 pagi aku masih duduk menyemak
buku-buku latihan murid-muridku. Kehidupan sebagai seorang guru amat
menyibukkan aku dengan masa yang dihabiskan dengan urusan sekolah. Jadi,
jarang-jarang aku keluar rumah berjumpa dengan kawan-kawanku yang hanya dapat
berjumpa apabila mereka bercuti semester universiti. Sebenarnya, perasaan
rendah diri dengan kawan-kawanku yang menyambung pengajian di universiti selepas
mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tidak dapat kusembunyikan di sanubariku.
“Jangan selalu datang ke sini , dia nak belajar ,”
kata makcik ‘B” kepadaku apabila aku berkunjung ke rumah kawanku. Kawanku ini
sedang melanjutkan pengajiannya di sebuah universiti awam dan bakal bergelar ‘engineer’.
Sejak hari itu, aku tidak lagi betah berjalan-jalan ke rumah kawan-kawanku
tetapi lebih gemar melayan kegemaranku berbasikal seorang diri.
Oleh sebab aku mengajar subjek Bahasa Malaysia jadi
hampir semua kelas aku diarahkan mengajar sambil dibantu dua orang lagi guru
Bahasa Malaysia. Seorang guru mengajar murid-murid Tingkatan 5 dan Tingkatan 6.
Seorang lagi guru mengajar murid-murid Tingkatan 3 dan Tingkatan Empat dan aku pula
mengajar murid-murid Tingkatan 3 hingga Tingkatan 6 termasuk kelas-kelas
tuisyen petang dan malam.
Seperti hari-hari sebelumnya, apabila aku sampai di
pagar sekolah, aku tidak terus naik ke tingkat atas. Biasanya beg aku yang sarat
dengan buku-buku latihan akan dibawa ke bilik guru oleh pengawas lelaki.
Pengawas lelaki bernama Krishnan murid Tingkatan 4 ini amat rajin dan kemas
orangnya. Perwatakannya sedikit lembut dan murah dengan senyuman. Aku akan
berdiri di depan bangunan sekolah dan beberapa orang murid lelaki serta perempuan
yang sedang melintas Jalan Pos Baru akan berpatah balik menuju ke stesen bas di
bawah bangunan Great Wall apabila melihat aku berdiri di situ. Aku akan mengarahkan
beberapa orang pengawas Tingkatan 6 untuk memanggil mereka kembali ke sekolah.
Murid-murid yang datang lewat semakin ramai kerana
alasan mereka bas penuh atau tidak berhenti. Ada muridku yang berulang alik
dari Kuala Selangor, Batang Berjuntai , Banting, Sungai Buloh dan Kuala Lumpur
setiap hari. Kegigihan mereka datang ke sekolah untuk menimba ilmu seawal sebelum
Subuh amat mengesankan hatiku bahawa impian mereka janganlah dipersia-siakan.
Itulah pengorbanan yang dilakukan mereka setelah gagal di sekolah lama. Aku
akan menunggu kedatangan murid-muridku sehingga pukul 8.45 pagi. Slot pertama
aku dikosongkan untuk memberi aku ruang menjalankan peraturan disiplin. Pada
masa yang sama , aku mendapat banyak info aduan yang disampaikan oleh
pengawas-pengawas sekolah. Aku juga berpesan kepada mereka agar melaksanakan
tugas mereka setakat di kawasan sekolah dan jangan sampai di luar sekolah demi
menjaga keselamatan mereka.
Tahun 1989 aku melangkah ke tahun ketiga mengajar di
Institut Hafiz. Usikan-usikan nakal murid-murid perempuan tetap ada dan aku
masih mengingati mereka sehingga kini malah kadang-kadang kami berjumpa dalam
majlis reunion yang diadakan atau majlis walimah murid-muridku. Kiranya, aku
sudah mempunyai ramai cucu ,iaitu anak-anak kepada murid-muridku. Ada juga
kalangan muridku yang menjauhkan diri apabila terserempak denganku. Barang kali
mereka masih marah terhadapku atas tindakan disiplin yang dikenakan semasa di
sekolah dulu. Sering kali aku memberitahu murid-muridku bahawa disiplin yang
aku kenakan di sekolah tetap juga aku kenakan terhadap anak-anakku di rumah.
Tahun 1989, juga aku menemui isteriku yang merupakan
bekas rakan sekelasku semasa di Tingkatan 6 dan kemudian mengulang peperiksaan
STPM pada sesi malam. Sepanjang di Tingkatan 6, tiada hubungan istimewa antara
aku dan isteriku. Kami bekerjasama sebagai Ketua Pengawas dan isteriku sebagai
Penolong Ketua Pengawas. Aku yang masih ‘single’ ketika itu hanyalah berserah
kepada-Nya soal jodoh. Oleh sebab aku mengajar sesi malam jadi kerap kali aku
terserempak dengan isteriku di kawasan sekolah, Hari demi hari hubungan kami
bertambah mesra.
“Amboi ada makwe
ekk,” usik murid-murid perempuan di dalam kelas. Aku hanya melemparkan
senyuman.
“Tak ada ‘chance’
la kita ,” usik ‘D’ muridku yang bertubuh langsing .
‘S’ dan ‘D’ paling ‘ berani’ menyakat aku
sebagai guru disiplin yang garang di sekolah. Mereka akan ketawa terkekeh-kekeh
di belakang kelas. Walaupun begitu, mereka sangat menghormati aku sebagai guru
mereka. Apabila mengenang kembali momen itu aku tersenyum sendiri. Murid-murid ‘Aspuri’
juga tidak kurang nakal. Apabila melihat aku berbasikal pada hari Ahad melalui
hadapan bangunan Institut Hafiz mereka akan bersorak dari atas bumbung bangunan
tempat asrama mereka. Aku hanya melambaikan tangan dan berlegar-legar di bandar
Klang dengan basikal ‘racing’ berwarna merah.
Keadaan lebih banyak berubah apabila aku mendirikan
rumah tangga dengan gadis pilihan hatiku.
Comments
Post a Comment