Episod: Nasi Goreng USA
Malam itu selepas pulang dari bekerja aku mengajak isteriku mencari makan di luar. Kebiasaannnya kami tidak terus pulang ke rumah selepas menutup pusat tuisyen. Tekak berasa hendak makan nasi. Aku memandu kereta ke sebuah restoran yang agak popular di Kampung Jawa Klang. Restoran ini terletak di seberang tanah perkuburan orang Islam.
Kami memilih tempat duduk di bahagian tengah restoran. Kebanyakan meja sudah ada pelanggan yang menjamu selera bersama-sama kawan atau keluarga masing-masing. Masakan di restoran ini memang sedap. Ini bukanlah kali pertama aku datang ke restoran ini. Kadang-kadang aku membawa anak-anakku bersama-sama makan malam di restoran ini.
Sebaik sahaja kami melabuhkan punggung, seorang pelayan restoran menghampiri meja kami untuk mengambil pesanan. Selepas membelek buku menu aku memilih nasi goreng USA. Sebelum ini aku tidak pernah makan nasi goreng USA. "Agak-agaknya macamanalah rupa nasi goreng USA," detik hati kecilku. Minuman yang dipesan sudah sampai.
Sementara menunggu makanan kami sampai aku membelek-belek telefon bimbitku. Pelayan datang membawa makanan yang kami pesan tadi. Rupa-rupanya, nasi goreng USA ialah nasi goreng biasa yang diletakkan sebutir telur mata di atasnya. Perasaan teruja menjadi kendur tiba-tiba.
Aku menekan telur mata dengan garpu. Alangkah terkejutnya kami kerana ulat-ulat sampah memenuhi pinggan. Tekak rasa loya dan ulat-ulat sampah berterusan keluar dari telur mata. Aku mengangkat tangan dan tuan kedai restoran mendekati meja kami.
"Bang telur ini keluar ulat," kataku dengan nada kesal. Tanpa berkata-kata tuan kedai mengambil pinggan nasi goreng dan berlalu pergi. Tidak lama kemudian , seorang pelayan menghantar sepinggan nasi goreng USA sebagai ganti tetapi seleraku sudah mati dan lebih kesal lagi tuan kedai langsung tidak meminta maaf kepada kami dengan wajah masam.
Aku mengajak isteriku keluar dari restoran itu dan membayar harga makanan dan minuman di kaunter.
"Tak makan ke?," tanya petugas kaunter.
"Tak pe," jawabku ringkas.
Itulah kali terakhir aku makan di restoran itu. Kejadian ini berlaku kira-kira 15 tahun dulu dan restoran itu masih beroperasi tetapi pelanggannya tidak seramai dulu. Mungkin sudah banyak restoran makan dan 'seafood' baharu dibuka di sini. Apabila aku melihat 'posting' di dalam muka buku tentang makanan yang berulat yang dibeli di bazar Ramadan aku akan teringat kes yang aku pernah alami. Etika berniaga sangat penting untuk kelansungan perniagaan yang lebih lama dan maju.
Comments
Post a Comment