Episod  : Menanti jawapan..


Aku ternanti-nanti sebuah khabar .Ku tulis warkah demi warkah namun penantianku tiada nokhtahnya.  Aku menjadi resah tatkala aku menerima khabar , dirimu kini sudah berteman . Hanya sebuah cenderamata pemberianmu menjadi kenangan indah kuselit di dalam helaian sebuah novel.


Hanya pada rakan-rakan aku mencari jawapan . Tiada kata-kata paling meyakinkan. Aku sekadar meneka andainya kau telah pulang ke kota T. Aku singgah di pekan B kalau-kalau kau masih tinggal di situ. Namun sia-sia, yang tinggal hanyalah sebuah rumah usang yang sudah ditinggalkan sekian lama .


Aku pulang dengan hampa dan mataku hanya tertancap pada kaca tingkap bas yang dibasahi renyai hujan. Tiada yang tinggal di sini hanyalah lewat kenangan sewaktu aku bertandang ke rumahmu. Kau melayan aku dengan mesra bagaikan enggan berpisah . 


Itulah hari terakhir aku menemuimu. Sejak itu, hanya warkah menjadi pengganti diri. Kutunggu dan terus menunggu . Perasaan kosong dan sepi menemaniku saat jejariku menekan butang mesin taip. Warkah yang entah ke berapa kutitip buatmu tanpa rasa bosan apatah lagi jemu. 


Saban hari , aku menunggu sepucuk warkah balasan darimu. Maafkan aku kerana penantian ini terlalu pedih dan letih. Melalui seorang teman, aku diberitahu kau kini berada di ibu kota. Aku mengajak temanku menemuimu di sana. Ya , inilah pertama kali aku melihatmu setelah beberapa waktu aku kehilanganmu.


Kusangka kemesraan yang menyambutku tapi kemuraman pada wajahmu membuatkan aku mengerti sesuatu. Pertemuan itu paling singkat meskipun penantianku terlalu lama. Pertanyaanku tentang warkah-warkah yang kukirim tiada jawapan dari bibirmu. Hanya pandangan kosong kau lemparkan. Mengapa ? 


Sejak itu , aku tidak lagi menanti jawapan kerana kukira pertemuan itulah jawapan. Aku tersedar selama ini aku hanyalah mengejar bayang-bayang. Aku sibukkan diri dengan menulis puisi-puisi di akhbar dan majalah. Tika itu , warkah-warkah silih berganti bertandang mengetuk pintu hatiku untuk dijadikan teman . Namun , hatiku semakin keras untuk menerima seorang teman . 


Warkah-warkah itu kubiarkan terbaring di atas meja tanpa secebis rasa untuk menatapnya. Hari demi hari , aku seakan terlupa tentangmu. Kesibukan waktu kuisi dengan menulis dan menulis. Tiada satu hari tanpa menulis . Aku mengikuti baca puisi di rumah KEMUDI , Jalan raya Barat ( Persatuan Penulis Muda Negeri Selangor ), Dayabumi , Pasar Seni dan Padang Merbuk. Mabuk ketawa tika mendengar Pyanhabib membaca puisi dan terkesima tatkala Pak Samad melontarkan suara yang dalam dengan hela nafas yang panjang mendekkamasikan sajak "Tetamu Senja" di tepi tembok Dayabumi. Aku bersila bersama-sama teman menekuni bait-bait puisi Pak Samad.


Setiap hujung minggu , aku berkembara mencari ilham bagi mengisi kantung puisi dan cerpen. Kekadang terserempak dengan kawan-kawan dari Gapena (Gabungan Penulis Nasional) di Pasar Seni. Aku umpama seorang pelarian . Aku menconteng buku kecil yang kubawa di dalam beg selimpangku.


Aku sudah mampu melupakanmu dan kupadam semua memori kita kerana aku tidak lagi berharap apa-apapun jawapanmu.

Comments

Popular posts from this blog