EPISOD : DI HADAPANKU SEORANG WANITA
28 Julai 1989, majlis perkahwinan aku
dan ‘S’ berlangsung di sebuah daerah di Klang. Kami hidup bahagia berdua dan
buat sementara waktu kami tinggal bersama-sama dengan keluarga mentua. Bukan
mudah untuk menyesuaikan diri dengan suasana baharu tetapi sedikit demi sedikit
kami belajar mengharungi kehidupan berumah tangga. Sejak itu juga , aku sudah menutup hatiku buat
‘R’ selama-lamanya.
Selang beberapa bulan kemudian, kami
menyewa sebuah rumah. Kami ingin belajar hidup berdikari. Setiap pagi, aku menghantar
dia ke Bangunan MARA tempatnya bekerja. Manakala, aku ke sekolah tempatku
mengajar. Apabila petang, aku akan menunggu di bawah bangunan Tabung Haji yang
terletak di seberang jalan untuk menjemputnya pulang. Kami berjalan melalui
Jalan Taiping dan sebuah restoran KFC masih berdiri gagah. Kami sama-sama
tersenyum mengenangkan memori ketika makan bersama-sama teman di situ. Kami
menunggu bas di stesen bas Klang kerana pada masa itu aku belum mempunyai
kenderaan. Gajiku RM500.00 hanya cukup-cukup makan sahaja.
Pada suatu pagi , isteriku sedang
mengemas sambil memasak di dapur. Aku duduk di ruang tamu menonton televisyen
dan tiba-tiba telefon bordering. Isteriku mengangkat gagang telefon dan berbual-bual
dengan seseorang. Suara isteriku sangat perlahan sehingga aku sendiri tidak
dapat mendengar perbualan di telefon. Lagipun, bunyi televisyen juga mengganggu
pendengaran aku. Hanya seketika, isteriku meletakkan telefon semula di gagang tanpa berkata-kata apa-apa.
Aku ingin bertanya tetapi isteriku sudah ke dapur.
Kemudian , isteriku mengemas ruang
tamu dan tidak bercakap-cakap denganku seperti kebiasaannya. Aku juga berasa pelik kerana sejak isteriku berbual-bual
di telefon tadi , isteriku menjadi pendiam.
“Kenapa?,” tanyaku ringkas. Isteriku
hanya mendiamkan diri. Pertanyaanku tidak dijawab.
“Ada orang nak datang rumah,” kata
isteriku lalu masuk ke dalam bilik. Aku terpinga-pinga mendengar jawapan
isteriku.
“Siapa yang nak datang?,” pertanyaan
itu hanya tersekat di kerongkongku.
Selang sejam kemudian , pintu rumahku
di ketuk dan diikuti suara memberi salam. Aku bingkas bangun dari sofa dan membuka pintu.
Di hadapanku seorang wanita , ‘R’. Lidahku kelu untuk berkata-kata. Perasaanku
bercampur baur. Isteriku keluar dari bilik lalu menyambut kedatangan ‘R’ dan mereka
kelihatan cukup mesra. Aku masih tidak percaya bahawa ‘R’ sedang berdiri di
hadapanku.
Isteriku berbual-bual dengan ‘R’ dan sekali-sekala
aku mencelah perbualan mereka. Aku dapat merasai kepedihan hati seorang isteri
daripada riak wajahnya. Sekali-sekala juga, ‘R’ memandang wajahku dengan pandangan
kosong. Isteriku ke dapur untuk menyediakan minuman dan tinggallah aku dan ‘R’
. Masing-masing tidak berkata-kata hinggalah isteriku muncul semula dengan menatang
sedulang minuman.
Pertemuan itu berakhir kira-kira dua
jam kemudian dan kami menghantar ‘R’ ke stesen bas yang terletak 200 meter
darri rumah sewa kami. Setelah ‘R’ tenggelam di dalam perut bas, kami berjalan pulang ke rumah.
“Awak cemburu?,” tanyaku kepada
isteriku yang hanya berdiam diri sejak tadi. Beberapa buah kereta dan motosikal
lalu lalang. Isteriku tidak segera menjawab pertanyaanku tetapi dia menggenggam
erat tanganku. Dia menyeka air matanya di hujung kelopak dan tersenyum
memandangku semula. Kami berpegangan tangan berjalan pulang.
Sejak hari itu, aku tidak pernah
mendengar berita tentang ‘R’. Kehidupan kami suami isteri berjalan dengan
sempurna dan bahagia. Sehinggalah pada suatu masa , kami menerima sekeping kad
jemputan . ‘R’ akan mendirikan rumahtangga. Sebagai rakan, kami menghadiri
majlis perkahwinan ‘R’ dan ‘R’ kelihatan sangat bahagia. Sememangnya, ‘R’ sudah
patut menemukan kebahgiaan hidup. Aku
bersyukur kerana akhirnya ‘R’ sudah mempunyai teman sejati bernama suami.
Comments
Post a Comment