EPISOD 119 : SEKEPING KAD UNDANGAN
Selang empat bulan setelah kehadiran ‘R’ yang tidak
diduga, kami menerima sekeping kad undangan perkahwinan ‘R’. Aku berasa gembira
dan bersyukur kerana ‘R’ akan melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihan
hatinya. Sekurang-kurangnya, ‘R’ telah menemukan cinta dan kebahagiaannya.
Pada tarikh majlis perkahwinan ‘R’ berlangsung, aku
dan isteri telah bersiap-siap untuk memenuhi undangan ‘R’. Aku memakai sehelai
baju kemeja berwarna kelabu warna kegemaranku dan seluar ‘slack’ hitam manakala
isteriku memakai sepasang baju kurung moden. Kami menaiki bas ke sana kerana
pada masa itu aku belum mampu membeli kenderaan sendiri. Kami sampai di rumah
pengantin lelaki dan suasana di majlis itu sangat meriah.
Aku dan isteri bersalam-salaman dengan ahli keluarga
pengantin dan mengambil tempat duduk di bawah khemah untuk menjamu selera.
Pasangan pengantin belum tiba lagi untuk diarak ke pelamin yang dibuat khas
untuk raja sehari. Berbagai-bagai perasaan hadir di dalam diriku. Gembira
kerana ‘R’ menemukan cinta sejatinya dan sebak melihat ‘R’ di atas pelamin
dengan jejaka yang berjaya memiliki hatinya.
Seketika kemudian kedengaran bunyi paluan kompang
menandakan pasangan raja sehari sudah pun sampai. Aku dan isteri yang sudah
selesai menjamu nasi minyak berdiri sama untuk melihat pasangan pengantin.
Wajah ‘R’ berseri-seri dengan persalinan sepasang songket kemerah-merahan sedondon.
Mereka diarak ke pelamin lalu disambut keluarga sebelah lelaki. Pencak silat
oleh beberapa orang kanak-kanak sedang berlangsung di hadapan pelamin sebagai
pembuka acara majlis hari itu. Cuaca agak panas terik.
Usai acara pencak silat diiringi acara merenjis air
mawar dan tepung tawar pengantin. Seorang demi seorang ahli keluarga mengambil
peluang menghiasi acara tersebut. Suasana meriah dengan gelak ketawa dan
usik-mengusik. ‘R’ melihat kelibat kami di bawah khemah yang tidak jauh dari
pelamin. ‘R’ tersenyum memandang kami. Setelah
selesai majlis tepung tawar, pasangan pengantin dibawa naik ke atas rumah untuk
acara makan beradap.
Aku dan isteri dijemput oleh salah seorang ahli
keluarga pengantin lelaki untuk naik ke atas rumah atas permintaan pasangan pengantin.
Aku bersalam-salaman dengan pengantin lelaki dan duduk bersila di sebelahnya. Manakala,
isteriku duduk di sebelah ‘R’. Semasa makan, ‘R’ bangun dan mengambil sebuah
bungkusan sebagai buah tangan untuk kami. Kemudian, ‘R’ duduk di sebelahku
sambil melayan aku dan isteri menjamah hidangan pencuci mulut. Aku menjadi
serba salah kerana ‘R’ duduk di sebelahku dan isteriku hanya menunduk ke
lantai. Pengantin lelaki melayan rakan-rakannya yang datang meraikan majlis
hari itu.
Selepas sejam di majlis itu, kami meminta diri untuk
pulang. Tetamu di khemah juga sudah beransur-ansur meninggalkan majlis. ‘R’ dan
suaminya menghantar kami ke tepi jalan untuk menunggu bas. Majlis itu merupakan
kali terakhir aku melihat ‘R’ kerana sejak itu aku tidak lagi menemuinya kerana
‘R’ sudah berpindah ke daerah lain mengikut suaminya. ‘R’ telah menemukan
cintanya dan kebahagiaan yang dicari-carinya. Semoga ‘R’ bahagia bersama-sama ‘imamnya’
melayari bahtera kehidupannya.
Comments
Post a Comment