EPISOD 118 : Wang Tidak Dituntut
Kisah ini berlaku beberapa tahun dulu dan aku sendiri
sudah lupa bilakah tahun sebenarnya. Bermula daripada panggilan telefon pada
suatu pagi.
“Asalamualaikum, Encik Che Azmi Bin Che Wil,”
kedengaran suara si pemanggil seorang wanita.
Panggilan nama Encik Che itu kadang-kadang aku sendiri seperti segan
hendak menyebutnya jika berurusan di mana-mana kaunter. Kalau aku memberitahu
namaku Che Azmi mungkin disangka aku seperti berlagak kerana menyebut nama
dengan ‘title’ Che sedangkan namaku sudah pun mempunyai ‘title’ Che di depan.
Ada seorang bekas muridku bermula dengan pangkal nama Sri dan sekarang orang
memanggilnya ‘Puan Sri…” Wow!
“Ya , saya Che Azmi, ” balasku.
“Saya membuat panggilan ini berkenaan wang tidak
dituntut,” ujar si pemanggil itu.
“Oh. Ya. Saya kurang jelas,” kataku seperti enggan
mempercayai kata-kata si pemanggil. Di dalam hatiku berkata-kata , “ Siapalah
yang murah hati nak beri aku wang percuma.”
“Sebenarnya Encik , pihak kami akan menjadi wakil
Encik untuk membuat tuntutan wang berkenaan. Pihak kami akan menghantar borang
kepada Encik untuk diisi dan Encik perlu menghantar borang itu semula kepada
kami,” kata si pemanggil.
“Err, berapa jumlah wang tidak dituntut itu?,” tanyaku
meminta kepastian.
“Maaf, Encik. Kami kena merujuk kepada Jabatan
Akauntan Negara dulu,” jelas si pemanggil.
“Baiklah, saya akan tunggu surat tersebut,” kataku
mengakhiri perbualan pagi itu.
Selang seminggu, sepucuk surat sampai di peti pos. Aku
mengoyak sampul surat itu dan di dalamnya ada sehelai borang kosong. Aku
membaca kandungan borang itu dan menandatangninya. Keesokan harinya, aku
mengajak isteriku ke alamat yang terdapat pada borang yang kuterima semalam.
Pejabat itu terletak di bangunan SIMFONI di Kelana Jaya berdekatan dengan jalan
menuju ke Lapangan Terbang Subang. Sesampai di pejabat berkenaan, aku disambut
oleh seorang kakitangan dan setelah melihat borang tersebut, kakitangan itu
bertanya sama ada aku hendak pergi sendiri membuat tuntutan. Aku yang lebih
suka belajar membuat sesuatu daripada mengharapkan orang lain bersetuju untuk
membuat tuntutan wang tersebut di Jabatan Akauntan Negara.
Aku dan isteri ke Menara Maybank, Kuala Lumpur.
Setelah berurusan di kaunter pengawal keselamatan di tingkat bawah, kami
diberikan pas untuk ke tingkat 7, iaitu Jabatan Akauntan Negara. Suasana di
pejabat itu agak suram dan sunyi. Hanya dua tiga orang kakitangan sedang
bertugas di kaunter dan aku serta seorang lagi pelanggan sahaja sedang
berurusan di situ. Nombor giliran aku dipanggil dan aku diminta mengisi sehelai
borang kosong dan tertera nama Jabatan Akauntan Negara.
Setelah itu, aku menyerahkan borang berkenaan kepada
kakitangan bertugas dan aku diminta duduk di kerusi pelawat.
“Entah berapa jutalah agaknya wang tidak dituntut tu,”
kataku perlahan kepada isteriku.
“Berapa sen la agaknya,” balas isteriku hampir ketawa
kecil.
Namaku dipanggil dan aku bingkas ke kaunter.
“Encik, sila tandatangan borang ini,” arah kakitangan
itu. Aku menurunkan tandatanganku pada borang kosong. Kakitangan itu
menyerahkan sekeping slip bayaran yang tertera di situ RM2700.00 sahaja. Aku
masih lagi terpinga-pinga.
“Wang ini dari mana Puan,” tanyaku kepada kerani itu.
Aku inginkan penjelasan .
“Wang Encik daripada saham Johore Port,” kata kerani
itu. Aku tersenyum dan beredar dari kaunter, Semasa di dalam lif aku dan isteri
tersenyum-senyum tanpa berkata-kata.
Aku diarahkan oleh kakitangan tadi ke Maybank tingkat
bawah utnuk tujuan tuntutan wang di kaunter. Setelah nombor giliran aku
dipanggil, seorang kerani meminta aku menandatangani sehelai borang dan kerani
itu menyerahkan wang tunai sebanyak RM2700.00. Wang sudah berpindah tangan dan
kami kembali ke parkir kereta.
Sepanjang perjalanan pulang, aku dan isteri saling
tertanya-tanya dari manakah asal-usul wang tersebut. Seingat aku, aku tidak
pernah membeli apa-apa saham melainkan saham ASB, saham Bank Rakyat dan saham
SEGi College tempat aku mengajar. Baru aku teringat, pernah seorang bapa kepada
murid aku yang bergelar Dato meminta aku memberikan salinan kad pengenalan aku
tetapi aku tidak bertanya tujuan Dato meminta salinan kad pengenalan aku. Pada
masa itu, ada cabutan saham Bumiputera yang sedang rancak di negara ini.
Mungkin inilah wang yang tidak dituntut tadi.
Aku dan isteri berbincang tentang wang ‘terpijak’ yang
baru diterima tadi. Oleh sebab pada masa itu kami tidak mempunyai aoa-apa keperluan
lain, jadi aku mencadangkan wang itu
digunakan untuk membeli emas. Aku ke sebuah pusat beli-belah dan membawa
isteriku ke kedai HABIB JEWELS. Aku menyuruh isteriku memilih barangan kemas
yang diminatinya dengan bajet RM3000.00 kerana aku mencukupkan jumlah wang tadi
sebagai mengambil berkat rezeki .
Isteriku memilih seutas gelang tangan dan setelah
membuat bayaran kami terus pulang ke rumah. Selepas beberapa bulan, di dalam
akhbar riuh-rendah tentang isu wang tak dituntut. Manakala, beberapa agensi
bertindak sebagai agen untuk menuntut wang tersebut. Mereka mengambil komisen
tertentu. Namun dalam kes aku, agensi berkenaan tidak merasa wang komisen daripada
aku kerana aku membuat sendiri urusan tuntutan wang tersebut dari A ke Z.
Betullah kata orang ‘Rezeki tidak pernah salah alamat”..
Comments
Post a Comment