Episod 115: Pung Pang Pung Pang (sebuah kisah dongeng) Siri 2
Beliau tidak senang duduk bagai cacing kepanasan. Beliau tertoleh-toleh mencari juaknya yang memberikan idea tempoh hari. Bibir diketap tanda geram. Ini bukan kali pertama yang berlaku. Sebelum ini pun, semasa mesyuarat agong pemilihan jawatankuasa pusat parti diadakan beliau nyaris-nyaris tersingkir disebabkan wujud team A dan team B . Beliau yang berada di team A dengan Tuan Presiden terselamat manakala rakan-rakan ahli jawatankuasa team B ramai ditendang keluar.
Kegusarannya masih belum reda dan tidak nampak tanda-tanda akan reda."Musibah, apakah ini ? ," jerit hatinya sekuat-kuat. Beliau yakin ada pihak yang cuba menggagalkan misi dan visi beliau. Beliau yakin pihak parti lawan telah meresap di dalam partinya. Beliau yakin benar.
Sebelum ini pun, sewaktu PRU yang lalu beliau telah mendendangkan berbagai-bagai dalil untuk menarik kepercayaan pengundi dan beliau berjaya. Namun disebabkan jumlah anggota partinya yang memenangi kerusi di peringkat Persekutuan hanya ciput, beliau dan Tuan Presiden gagal membentuk kerajaan. Beliau tidak berputus asa dah akhirnya berjaya juga parti beliau menjadi separuh daripada kerajaan secara 'tikam belakang' . Beliau tidak kisah dengan apa-aa yang diperkatakan orang lain terutama musuh-musuh politiknya kerana beliau sedar penyokong-penyokongnya tetap berdiri teguh di belakangnya.
"Tuan jangan bimbang. Tuan boleh bercakap mengikut pendapat tuan. Inilah masanya tuan hendak membuktikan kemampuan tuan," kata pegawainya khasnya dengan berbisik. Beliau berasa hendak meninggalkan dewan itu tetapi namanya sudah diumumkan oleh pengerusi persidangan dari negeri tikar terbang. Hendak tak hendak beliau terpaksa bangun dengan senyuman kelat.
Beliau kini berdiri di tengah-tengah pentas dan dihadapannya dua buah mikrofon mudah laras. Peluh memercik di dalam kot yang ditempah khas dengan peruntukan kedudukan jawatannya. Kedua-dua tangannya membetulkan laras mikrofon. Di dalam kepalanya kosong ! . Beliau seolah-olah baru tersedar selama ini beliau hanya bersedap-sedapan di dalam pejabatnya. Segala teguran terhadapnya dianggap tohmahan yang sengaja mahu menjatuhkannya. Di hadapannya kini bukan penyokong-penyokongnya yang sentiasa menyokongnya secara membabi buta tetapi menteri-menteri yang mewakili negara masing-masing .
Semua yang ada di dalam dewan persidangan itu ternanti-nantikan ucapan julung-julung kalinya. Beliau menoleh ke arah pengerusi persidangan . Pengerusi persidangan menunjukkan isyarat 10 jari. Beliau mengangkat tangan menunjukkan isyarat empat jarinya. Pengerusi menepuk dahi kerana isyaratnya tidak difahami oleh beliau. Beliau mengangkat tangannya sekali lagi menunjukkan isyarat tiga jarinya . Muka pengerusi merah padam dan menunjukkann jarinya antara jari telunjuk dan jari manisnya . Beliau berasa amat marah tetapi beliau tidak boleh memghamburkan kata-kata makian seperti yang selalu dilakukan oleh Tuan Presiden partinya kerana mereka yang sedang duduk di bawah pentas bukan penyokong-penyokongnya .
Beliau membetulkan laras mikrofon sekali lagi . Beliau tiba-tiba terbayang wajah tuan direktor Ahmad Nisfu yang menyuruh Ramlee bercakap sambil menjelirkan lidah...
Comments
Post a Comment