Episod 110: DARI KLANG KE PASIR MAS
Perjalanan jauh hari ini dijangka mengambil masa 7
hingga 8 jam. Aku bertolak dari rumah di Bukit Tinggi, Klang jam 6.30 pagi.
Kutekan butang panel radio lalu kedengaran ceramah motivasi oleh Doktor Tengku
Ismadi. Radio Klasik memang menjadi pilihanku sepanjang perjalanan ke Pantai
Timur. Suhu pendingin hawa di dalam kereta menunjukkan 26 darjah celcius. Jalan
lengang menuju ke Bukit Raja , Klang.
Lebuh raya NKVE juga agak lengang dengan kenderaan.
Kereta kupandu meluncur laju ke arah Lebuh raya Karak. Plaza tol sunyi hanya
beberapa buah kenderaan melepasi palang tol. Selepas melepasi Genting Sempah,
lori-lori besar dan kecil mulai bergerak ke destinasi masing-masing . Jalan
yang menuruni bukit paling tidak aku gemar. Kelajuan kereta yang tinggi sedikit
mencabar kemahiran memanduku.
Tiba-tiba, kedengaran bunyi pelik seperti kerosakan
brek .
“Pinnnggg! Piinggg! Piinngg!” Bunyi nyaring yang
berterusan mencemaskan kerana bimbang kalau-kalau kereta tuaku ini meragam di
tengah-tengah jalan. Aku tertanya-tanya sendiri punca bunyi bising itu dan
isteri serta anakku juga seakan-akan terpinga-pinga dengan apa yang sedang
berlaku. Di hadapanku sebuah lori besar berwarna kuning sedang memecut mendaki
jalan berbukit. Apabila aku menjauh daripada lori itu bunyi nyaring semakin
perlahan dan apabila kedudukan lori itu mendekat bunyi nyaring semakin ketara.
Jadi, barulah aku sedari bunyi “Piinngg” itu datang dari lori kuning itu
sebenarnya. Lega hatiku kerana perjalanan masih jauh.
Kami singgah di Restoran Lemang To’ki di Raub. Inilah
pertama kali aku makan di sini walaupun sudah beberapa kali aku melintasi
restoran ini semasa pulang ke Pantai Timur. Pelanggan belum begitu ramai kerana
restoran dibuka jam 8.00 pagi. Aku mengambil tempat duduk dahulu kerana lemang
masih belum siap dan terpaksa menunggu 20 minit.
Di satu sudut , terdapat barang-barang antik
diletakkan di anjung restoran untuk tatapan pelanggan yang berkunjung untuk
mengembalikan nostalgia. Pelanggan sudah mulai beratur dan aku memesan lontong
bersaiz sederhana dan rendang ayam kerana rendang daging belum siap dimasak.
Selepas menjamu selera hampir sejam aku bergerak keluar menuju ke destinasi.
Cuaca sejuk dan berkabus menambahkan kedinginan di dalam kereta.
Dari Raub ke Merapoh lalu memasuki Jalan Central Spine
Gua Musang sejauh 86km menuju ke bandar Gua Musang. Sebuah kereta Axia berwarna
merah memecut laju di lorong kanan. Aku cuba memotong tetapi kereta Axia terus
memecut laju. Setiba di kawasan berbukit bukau yang cantik di hadapan dan kanan
jalan kereta Axia sedikit perlahan kerana merakam gambar pemandangan indah di
kawasan itu.
Aku menoleh ke arah kereta Axia seorang perempuan muda
sedang memandunya dengan seorang kawan perempuannya duduk di sebelah pemandu.
Wah, berani betul dia memandu !. Sesampai di Gua Musang jalan raya agak sibuk
dengan kenderaan. Pergerakan agak perlahan di sesetengah tempat tetapi trafik
masih berjalan lancar.
Perut sudah mula berkeroncong . Aku mencari-cari kedai makan yang sesuai.
Pergerakan perlahan apabila mengekori sebuah lori
traler di hadapan. Kereta bersusun-susun menunggu peluang untuk memotong. Hujan
sekali sekala di beberapa kawasan mengingatkan aku tentang bahaya jalan licin.
Beberapa kali kami berhenti di stesen minyak untuk membuang air kecil atau membeli
kudapan. Jam 2.00 petang , kami berhenti makan tengah hari di sebuah kedai
makan di Machang. Menu yang kami pilih nasi putih , semangkuk sup tulang , telur
dadar dan sepinggan somptam . Kesemuanya, RM26.00. Usai menjamu selera,
perjalanan diteruskan . Setiba di Kok Lanas dan Kuala Krai pergerakan kenderaan
menjadi sangat perlahan . Asalnya, kami merancang untuk terus ke Kota Bharu
tetapi menukar rancangan . Kami melencong ke Pasir Mas untuk singgah di rumah
anak buah isteriku #Bazila dan Hafiz kedua-duanya pensyarah di Kolej Komuniti
di sini dan telah bermastautin di Banggol Cicha, Pasir Mas.
Kami sampai lebih kurang jam 3.45 petang di rumah anak
saudara. Aku mengambil peluang berehat dan tidur sebentar untuk menghilangkan
penat memandu sejauh 446km. Petang itu, aku ke Rantau Panjang untuk menziarahi
pakcik dan makcikku. Mengikut waze, dari Pasir Mas ke Rantau Panjang
menggunakan jalan pintas. Malangnya , jalan yang ditunjuk waze sedang dibaik
pulih. Sepanjang jalan hampir 2km dipenuhi tanah merah ditambah hujan
renyai-renyai. Kereta aku sudah seperti lori estet kerana jalan becak tanah
merah. Selepas melawat pakcik dan makcikku, kami bergerak ke Kota Bharu untuk
makan malam bersama-sama keluarga anak buah di sebuah restoran seafood di
pinggir Kota Bharu. Pelanggan restoran terlalu ramai tetapi anak buah sudah
menempah meja dan makanan jadi tidak terlalu lama kami menunggu hidangan
seperti beberapa meja di sekeliling kami yang menunggu lama untuk mendapatkan
makanan yang dipesan.
Selesai makan , kami pulang ke rumah dan membersihkan
diri. Badan berasa sangat letih. Kami berbual-bual seketika di ruang tamu
sebelum masuk tidur. Rancangan esok hendak mencari tempat makan sarapan dan
melawat sepupu di Pasir Mas dan makcikku di Palekbang, Tumpat …
Comments
Post a Comment