Episod 104: Kembali

Hari ini hari terakhir kembaraku ke Port Dickson. Seronok dapat bercuti bersama-sama keluarga yang semakin kecil dan mengembalikan nostalgia 32 tahun yang lalu apabila aku dan isteri pernah ke sini.
Aku mengajak isteriku mencari sarapan pagi di luar. Banyak kedai ditutup pada hari Isnin. Akhirnya, kami bersarapan di sebuah kedai makan bersebelahan Stesen Minyak PETRONAS. Menu pagi itu, mi hoon goreng , kue tiaw sup , nasi lemak .
Aku ke kaunter bayaran dan seorang wanita lingkungan umur 40-an duduk di kerusi. Sebuah kalkulator di atas meja . Aku menyebut makanan dan minuman yang telah kami makan dan wanita mengira dengan kalkulatornya . Peliknya , sampai kepada total harga wanita itu seperti 'terkaku' dan aku masih berdiri di sisinya menanti dia memberitahu harga makanan dan minuman . Wanita itu masih 'terkaku' dan aku melihat kalkulator RM17.00 .
Aku menghulurkan sekeping not RM20.00 ke tangan wanita itu tetapi seperti tidak mahu memegang wang itu lalu melayang ke lantai di tepi kakinya. Wanita itu tidak mengambilnya sebaliknya aku mengutip wang itu semula . Aku melatak wang itu di atas mejanya pula dan lambat-lambat dia memulangkan baki RM3.00. Entahlah , aku pun tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku. Mata wanita itu terkebil-keil menghulurkan wang baki RM3.00 . Adakah wanita itu tersalah kira atau tak dapat 'ketuk' aku kerana aku berdiri rapat di sebelahnya mengira harga sarapan kami !.Wallahualam. Sebelum itu, wanita yang duduk di kaunter sedang rancak berbual-bual dengan seorang wanita tua barang kali ibunya .
Aku meninggalkan kedai makan lalu ke hotel yang jaraknya lebih kurang 200 meter. Setelah memparkir kereta aku mengajak isteriku bersiar-siar sebentar di tepi pantai . Pengunjung tidak terlalu ramai dan terdapat beberapa buah khemah didirikan di tepi laluan pejalan kaki. Mungkin mereka bermalam di situ. Peniaga-peniaga sudah membuka perniagaan masing-masing.
Kalau 32 tahun dulu, terdapat sebuah pentas besar di tepi pantai dan Ramli Sarip sedang mengadakan 'rehearsal' bersama-sama band iringannya. Aku dan isteri dengan sebuah beg pakaian pertama kali sampai di Port Dickson (PD) untuk berbulan madu. Hasrat untuk bermalam di PD tidak kesampaian kerana wang di dalam saku tak sampai RM100. Lagipun, majikan tempat aku bekerja ketika itu tidak membenarkan aku bercuti walaupun hari itu ialah hari ketiga aku telah bernikah ! .
Semua itu hanyalah secebis memori usang yang menjadi suatu pengalaman berharga . Aku dan isteri ke pantai dan air laut sedang surut . Kami menyusuri tepian pantai dan sempat merakam beberapa keping foto sebagai kenang-kenangan .
" ...Setahun sudah berlalu ,
Februari muncul kembali ,
Dengan kehangatan semalam ,
Tanpa kusedar , Kupetik mawar merah,
Kutulis sekuntum puisi,
Tapi sayang pada siapa kan kuberi..."
Lagu Alleycat kedengaran jelas daripada 'speaker' gerai yang berniaga di tepi pantai .
Kira-kira setengah jam di pantai , aku mengajak isteriku pulang ke hotel . Kami akan bergerak pulang ke Klang dan jarum jam hampir 12.00 tengah hari masa untuk 'check-out' . Pukul 3.00 petang , kelas tuisyen bersemuka akan bermula. Alhamdulillah, kami sampai di Bukit Tinggi jam 2.00 petang dengan selamat. Amin.

Comments

Popular posts from this blog