Episod: TERPISAH

 

"Cepat, Tini, " laung Mikhail seperti tergesa-gesa. Kemudian, Tini muncul di ruang tamu . Tini masih membetul-betulkan tudung yang baru dipakainya .

"Ok tak , papa ?," tanya Tini.

" Ok dah sangat tu, " jawab Mikhail sambil tersenyum melihat anak daranya persis ibunya.

"Dah cepat . Nanti lambat pulak kita sampai . Kasihan mama tunggu kita , " bebel Mikhail sambil membuka pintu keretanya. Kunci dipulas dan pedal minyak ditekan .

 

Kereta meluncur meninggalkan bandar Klang menuju ke Kuala Lumpur.

" Dah 42 tahun umur , mama. Kan papa."

Mikhail membiarkan Tini membilang umur mamanya. Mikhail menoleh Tini dan tersenyum.

"Ye, betul, Tini , " barulah Mikhail mengiyakan kata-kata Tini.

"Tini rindu dengan mama. Dah lama Tini tak jumpa mama," kata Tini sambil melihat jam di tangannya.

"Pukul berapa papa janji nak jumpa mama ? ," tanya Tini lagi. Keadaan Lebuh raya Persekutuan tidak terlalu sibuk kerana hari itu hujung minggu keempat bulan September.

" Pukul 3 petang, Tini ," jawab Mikhail ringkas. Tini mendiamkan diri . Mikhail menumpukan perhatian terhadap pemanduannya walaupun lebuh raya agak lengang.

 

Kereta membelok ke Dataran Merdeka . Dari jauh , Tini sudah ternampak mamanya di tepi jalan . Kereta berhenti betul-betul di bahu jalan . Tini segera meluru keluar dan memeluk mama. Mikhail hanya tersenyum melihat gelagat dua beranak itu. Tini membukakan pintu belakang kereta untuk mama.

 

"Awak apa khabar ?," tanya Mikhail kepada Saliya.

"Alhamdulillah ,"  jawab Saliya ringkas dan tersenyum kepada Mikhail.

"Selamat Hari Lahir, mama ," ucap Tini yang duduk di depan .

"Kita nak makan di mana ?," tanya Mikhail yang seperti tidak ditujukan kepada sesiapa. Suasana sepi seketika. Masing-masing sedang memikirkan lokasi tempat makan .

"Kita ke Damansara. Di sana ada sebuah restoran yang makanannya sedap-sedap ,"  ujar Saliya memberikan cadangan .

"Papa ikut saja ," kata Mikhail sambil menoleh kepada Tini .

"Tini ikut saja cadangan mama dan papa," kata Tini anak perempuan tunggal Mikhail dan Saliya. Kereta meninggalkan bandar metropolitan menuju ke Damansara .

 

Tini dan Saliya berbual-bual mesra dan sesekali berderai gelak ketawa. Mikhail hanya mencelah sekali sekala . Mata Mikhail mencuri-curi pandang Saliya dari cermin di atas kepalanya. Saliya hanya tersenyum apabila menyedari kelakuan Mikhail itu.

 

Akhirnya , mereka sampai ke destinasi yang dituju. Beberapa orang pelanggan mengisi ruang makan di dalam restoran . Restoran yang menyajikan makanan barat memang menjadi kegemaran Saliya dan Mikhail sejak mereka mula bercinta dulu. Seorang pramusaji mempersilakan mereka duduk di sudut restoran . Mikhail memandang keliling restoran seketika dan memandang Saliya . Tini memegang tangan mamanya .

 

"Sama macam dulu tak banyak berubah ," kata Saliya . Mikhail hanya tersenyum. Mikhail teringat saat-saat manis musim percintaan dengan Saliya.

"Dulu , mama selalu ajak papa datang makan di sini ," beritahu Mikhail kepada Tini.

"Betul ke mama ?," tanya Tini semula kepada mama. Saliya hanya mengangguk menjawab pertanyaan Tini . Wajah mama sedikit suram seakan membendung rasa kepiluan yang terpendam di hati. 

Pramusaji datang membawakan makanan dan minuman yang dipesan mereka tadi.

"Tapi, sudah lama papa dan mama tidak datang ke sini ," kata Mikhail. Tini dan Saliya hanya membisu. Hati Tini berasa sebak mendengar kata-kata papanya. Tini sedar semua itu. Tini sedar papa cuba mengembalikan nostalgia saat papa bersama mama . Namun , semua itu sudah lama berlalu . Hanya Tini menjadi pengikat kasih Mikhail dan Saliya.

 

Seorang pramusaji menghampiri meja mereka sambil menatang sebiji kek hari lahir. Saliya terkedu seketika kerana tidak menyangka Mikhail akan membuat 'surprise' .  Saliya meniup lilin yang dipasang di atas kek . Pelanggan-pelanggan yang berdekatan meja mereka turut tersenyum .Mikhail menyeluk sesuatu dari dalam saku seluarnya. Sebuah kotak kecik diikat reben diletakkan di atas meja. Wajah Saliya berubah seakan malu melihat situasi yang sedang berlangsung ketika itu. Tini memeluk mama dan mencium pipi mama.

" Bukalah kotak itu ," kata Mikhail dengan matanya tersenyum .

 

Saliya memegang kotak itu dan perlahan-lahan membukanya . Sebentuk cincin berlian sebagai cenderahati Mikhail sempena hari lahir Saliya. Tini memakaikan cincin itu di jari manis mama . Spontan meluncur dari bibir Saliya , " Terima kasih, abang " .  Kelopak mata Saliya bergenang air mata . Mikhail melempar jauh pandangannya ke luar cermin restoran dan menyapu air matanya yang mengalir di pipi. Tini memeluk mama dan papa.

 

Sebelum meninggalkan restoran , mereka sempat bergambar sebagai kenang-kenangan hari lahir Saliya. Tini duduk di tengah-tengah . Usai majlis kecil di restoran , mereka meninggalkan tempat itu dan menuju ke Dataran Merdeka. Sepanjang perjalanan pulang , tidak banyak perbualan . Masing-masing seperti melayan perasaan. Mikhail mengimbau memori indah dengan Saliya sebelum mereka terpaksa berpisah . Meskipun begitu, Mikhail tetap sayang akan Saliya dan tidak pernah mengabaikan Saliya. Rumah yang diduduki Saliya masih rumah lama mereka sewaktu mereka masih suami isteri.

 

Perceraian yang terjadi adalah kerana takdir jodoh di tangan Tuhan . Perkahwinan mereka tidak dapat diselamatkan. Tini ketika itu masih kecil dan tidak mengerti apa-apa. Tanggungjawab menjaga dan mendidik Tini tetap diutamakan kerana itulah janji mereka sebelum Mikhail melafazkan ungkapan perceraian . Tiada bezanya sebelum dan sesudah berpisah hubungan Mikhail dan Saliya tetap baik . Mereka saling menghormati pendirian masing-masing. Mikhail menyerahkan segalanya kepada Tuhan andainya masih ada jodoh di hujung nyawa.

 

Bunyi hon melenyapkan lamunan Mikhail. Kereta diberhentikan di bahu jalan Dataran Merdeka. Tini memeluk mama erat-erat bagaikan sukar untuk dilepaskan .

"Abang jaga diri ya," ujar Saliya sambil menyeka air mata. Mikhail hanya tersenyum. Tini membungkam di dalam kereta meninggalkan mama. Mikhail hanya membisu melayan perasaan.  Perjalanan pulang ke bandar Klang diiringi lagu Sudirman "Di Dalam Sepi itu " dan Mikhail hanya membiarkan air matanya gugur satu persatu. Di luar hujan mulai turun renyai....

 

 

Comments

Popular posts from this blog