Episod : MAT SALEH  

 

Pengalaman belajar Bahasa Inggeris di sekolah dengan Cikgu X berlaku sekitar tahun 1985. Guru Bahasa Inggeris telah berpindah ke sekolah dan kami murid-murid Tingkatan 6 menerima guru baharu sebagai pengganti . Pada tahun-tahun tersebut , dalam subjek Bahasa Melayu ada satu bahagian dinamakan ‘Terjemahan’. Petikan Bahasa Melayu diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris . Bukan mudah kerana petikan yang diberikan menggunakan istilah yang setaraf Tingkatan 6.

 

Aku pun sudah tidak ingat nama sebenar Cikgu Bahasa Inggeris itu . Baru balik dari ‘oversea’ Amerika Syarikat kerana melanjutkan pengajian di sana . Bahasa Inggerisnya memang berhabuk. Kami yang tak begitu mahir subjek Bahasa Inggeris hanya melopong mendengar ‘Mat Saleh’ bercakap di dalam kelas.

“Shelamat pagi , “ sapa Cikgu X . Masing-masing memandang sesama sendiri . Ada juga yang hendak tergelak tapi ditahan – tahan supaya tidak berderai.

“Shaya mahu awak shemua buka buku , “ sambung Cikgu X lagi. Tiada kedengaran suara riuh-rendah seperti biasa apabila guru di dalam kelas . Suasana di dalam kelas sunyi sepi. Barangkali takut kena soal termasuklah aku .

 

“Nama shaya ………… . Shaya baru balik dari US belajar di shana, “ terang Cikgu X dengan wajah serius .

“Shaya mahu awak shemua bangun dan perkenalkan nama mashing-mashing , “ suruh Cikgu X sambil menuding jari kepada murid di barisan paling hadapan dengan pelat pekat. Selesai memperkenalkan diri , pembelajaran pun dimulai dengan petikan Bahasa Melayu . Kami dikehendaki menterjemahkan petikan tersebut dalam Bahasa Inggeris . Aku hentam saja .

 

“Shaya mahu awak shemua baca jawapan anda mashing-mashing , “ kata Cikgu X selepas masa 30 minit diberikan selesai. Masing-masing membaca jawapan tanpa bantahan . Mulalah kedengaran gelak ketawa apabila seorang demi seorang bangun membaca jawapan . Kawan aku yang duduk di sebelah tersangkut-sangkut membaca jawapan. Aku menahan ketawa sampai menggigil badan aku. Apabila kawan aku duduk yang aku dengar kawan aku berkata  “ Shial “ sambil mengajuk pelat Mat Saleh cakap Melayu . Aku menutup muka dengan buku kerana sudah tidak tahan lagi menahan ketawa.

 

Kelas pertama berakhir selepas 45 minit . Rata-rata kawanku mengeluh kerana pelat Mat Saleh yang menyukarkan kami mengikuti kelasnya dan ada juga yang mempertikaikan pelat bahasa Inggerisnya yang seakan-akan mengada-ngada. Aku malas nak bertelagah dengan kawan-kawan sebaliknya aku menemui Puan Pengetua di pejabat .

 

‘ Tok! Tok ! Tok !. Asalamualaikum , Puan , “ kataku apabila Puan Pengetua melambai tangan menyuruh aku masuk ke pejabatnya .

“Saya nak tarik diri daripada kelas Bahasa Inggeris , “ kataku spontan tanpa menunggu Puan Pengetua mempelawa aku duduk .

“Kenapa pulak ?,” tanya Puan Pengetua dengan wajah terpinga-pinga.

‘Saya tak suka pelat Mat Saleh cikgu baru tu, “ kataku berterus-terang .

“Kita orang Melayukan . Takkanlah dah lupa cakap Melayu . Kenapa nak dipelatkan gaya Mat Saleh , “ kataku mengerutu di hadapan Puan Pengetua .

“ Kalau saya bagi awak pengecualian nanti semua kawan lain ikut sama . Lagipun , awak Ketua Murid sekolah ini , “ kata Puan Pengetua berbahasa-basi untuk memujuk hatiku.

“ Saya tetap dengan keputusan saya , Puan . Saya akan belajar sendiri. Lagipun , petikan terjemahan itu satu bahagian saja , “ ujarku memberikan alasan untuk menarik diri mengikuti kelas Cikgu X .

“Baiklah . Kalau begitu saya benarkan , “ kata Puan Pengetua memberikan keputusan muktamad.

 

Sejak hari itu , setiap kali Cikgu X masuk ke kelas aku akan keluar awal dulu . Cikgu X memandang geram kepada aku tetapi aku lebih geram orang Melayu tak tahu bercakap bahasa Melayu dengan betul. Pada masa itu , aku sudah pun mula menulis karya di dalam surat khabar dan menerima bayaran setiap bulan daripada karya-karya yang tersiar di akhbar tempatan. Semangat mempertahankan maruah Bahasa Melayu itu sangat tebal di dalam diriku . Aku berasa tidak wajar orang Melayu tidak fasih berbahasa Melayu . Ada saja guru lain yang berkelulusan universiti dari luar negara yang mengajar di situ tetapi tidak pula pelat bercakap Melayu. “ Ini semua hipokrit , “ bentak hatiku.

 

Akhirnya , keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia diumumkan dan aku memperoleh Prinsipal B bagi subjek tersebut . Sebenarnya , bukan aku tidak meminati subjek Bahasa Inggeris tetapi cara pengajaran oleh Cikgu X membuatkan aku ‘ naik angin ‘. Sekarang , aku pula menjadi tutor Bahasa Melayu dan sentiasa menegur murid-muridku membaca dan menjawab soalan hendaklah dengan menggunakan Bahasa Melayu walaupun mereka dari kaum bukan Melayu kerana “Bahasa Jiwa Bangsa “ .

Comments

Popular posts from this blog