Episod : HATI YANG TERLUKA 


Sudah hampir puluhan tahun , tiba-tiba ingatan terhadapmu bertandang kembali. Saat perpisahan itu, aku sudah berjanji untuk tidak lagi menemuimu selama-lamanya. Aku memilih untuk mencari suatu daerah yang paling sunyi di dalam hatiku agar kau dapat kulupakan. Segala janjimu kepadaku hanyalah kepalsuan.

Kau kusayangi sepenuh hatiku namun semuanya itu hanyalah kelukaan. Dan cintaku berubah menjadi benci. Pertemuan yang tidak disangka-sangka semasa kita menyertai majlis baca puisi di Dayabumi , Kuala Lumpu. Aku terpandang kau yang sedang duduk bersama-sama temanmu. Apabila tiba giliranku mendeklamasikan puisi kau berdiri bertepuk tangan . Kawan-kawan penyair kita hanya tersenyum melihat gelagatmu .

Sejak itu , kita sering bertemu di majlis baca puisi sekitar Kuala Lumpur. Aku seperti biasa dengan gaya bersahaja dan berbaju kemeja lengan panjang dilipat paras lengan . Baju kemeja itulah seakan imej aku setiap kali menyertai baca puisi dan matamu sering terlihat aku dengan senyuman. 

"Saya Khir, " kataku memperkenalkan diri. Kau bingkas berdiri dan menyambut tanganku.

"Saya Fia, " katamu . Wajah mulus dan rambut ikal paras bahu begitu anggun. 

"Tak baca puisi ?," tanya Fia dan menyimpan secoret catatan puisi di dalam beg sandang. 

"Belum sampai giliran . Tunggu Intan umum nama saya , " kataku sambil ekor mataku memandang Intan yang sedang membelek-belek helaian senarai nama pemuisi yang akan melantunkan puisi masing-masing. Hari itu Pak Samad tidak hadir seperti selalu. Aku begitu kagum akan gaya Pak Samad yang berambut dan berjangut panjang putih. Tatkala  Pak Samad melontarkan suara, nadanya panjang sehingga nafas di hujung kerongkongnya. Berbeza dengan Latif Mohidin dan T Alias Taib yang agak tenang membaca puisi tidak bergendang bergendang seperti Aripin Said. 

Usai , aku mendeklamasikan puisi , tiba giliran Fia . Rambutnya dilepaskan menutupi bahu dan aku akui gaya serta suaramu memang persis Siti Zainon. Merdu dan jelas sepatah demi sepatah. Keceriaanmu bagai Zurinah Hasan di depanku mendeklamasikan puisi. Fia mendekati aku selesai mendeklamasikan sajaknya.

"Bagus puisi awak, " kataku memuji Fia. Fia membalas dengan senyuman .
"Awak pun apa kurangnya , " balas Fia mesra.

Aku dan Fia sering bergandingan mendeklamasikan puisi di majlis yang dianjurkan oleh persatuan penulis. Lebih-lebih lagi bersama-sama rakan-rakan di KEMUDI Selangor. Abang Abu Hasan dan Zurinah Hasan menjadi pendorong kami generasi penyair muda menonjolkan bakat dan minat. Kemseraan antara aku dan Fia disedari oleh rakan-rakan penyair lain. Kami sering berbicara tentang kehidupan dan alam. Minat yang sama menjadikan kami bertambah intim.

"Khir, kau tak ikut serta ke PD,? " tanya Fia selepas kami selesai mengisi slot penulisan cerpen dengan Ismail Sarbini di rumah KEMUDI Jalan Raya Barat. 

" Tak, Fia,"
:Kenapa , Khir ?," aku membiarkan Fia berteka-teki menantikan jawapan aku. Fia memandang jauh ke luar jendela. Pohon-pohon yang merimbun di belakang rumah papan yang menjadi tempat penulis-penulis di daerah Klang berkumpul. Aku juga berasa damai apabila di sini . Banyak buah fikiran dapat ditimba dan berukar-tukar pendapat dengan penulis yang sudah mampan.

Bulan demi bulan dan sudah hampir setahun , keintiman aku dengan Fia bukan lagi sebuah cerita dongeng antara Romeo dan Juliet antara Puteri Gunung Ledang dengan Hang Tuah . Kami sudah merancang untuk mengikat hati dengan tali pertunangan . Aku berasa bertuah kerana memiliki hati Fia. Beberapa puisi kutulis khusus untuk Fia dan tersiar di dalam akhbar dan majalah. 
"Malulah Khir tulis puisi untuk Fia , " ujar Fia sewaktu kami bersiar-siar di Tasik Perdana. Di situ , ada majlis baca puisi dikendalikan rakan-rakan pemuisi di Kuala Lumpur. 
"Khir tulis dari isi hati, " kataku sambil menepuk-nepuk dadaku bagaikan seorang tarzan. Fia ketawa kecil dan manja. Kami sama-sama ketawa dan Fia menyandarkan kepalanya di bahuku sambil menikmati suasana baca puisi pada petang itu.

" Minggu depan, ada baca puisi di Padang Merbuk. Ramai penulis akan berhimpun di sana, : kata Fia sambil mengemas beberapa helaian coretan puisi di atas meja di rumah KEMUDI.

" Jomlah, Khir kita pergi sama , " ajak Fia bersungguh-sungguh. 

"Maaf, Fia. Aku ada tugas penting untuk disiapkan secepat mungkin. Minggu depan aku ke MM untuk menghantar karyaku. Maaf, Fia, " kataku dan wajah Fia sedikit suram.

"Kau pergilah dengan Intan . Dia pun akan ke sana nanti, " cadang aku kepada Fia. Fia melihat Intan sedang berbual-bual dengan Zurinah. Intan tersenyum memandang aku dan mencebekkan bibirnya. Aku tersenyum melihat gelagat Intan yang ' sempoi' itu. 

Sekembali Fia dari perhimpunan penulis di Padang Merbuk  , sikap Fia sedikit berubah. Fia seakan-akan cuba menjauhkan dirinya daripada aku. Mungkinkah kerana aku tidak mahu ikut serta ke sana menjadi sebab Fia kurang mesra denganku.Kebetulan  , aku juga sedang sibuk dengan beberapa perkara ketika itu dan kurang mempunyai ruang masa untuk Fia. 

Pada hujung minggu itu, kami penulis muda daerah Klang dipelawa menghadiri kenduri puisi di Pulau Lumut. Aku tidak mahu melepaskan peluang ini kerana beberapa orang penulis tersohor akan turut serta dalam rombongan menaiki motobot di Jeti Pelabuhan Klang. Aku ke sana bersendirian tanpa Fia kerana Fia ke Kuala Lumpur. Kata Intan , Fia mempunyai teman baru di sana. Aku hanya mendiamkan diri . Motobot meninggalkan jeti dan beburung camar melayang-layang sambil berkicauan nyaring membelah lautan menuju Pulau Lumut. 

Tatkala hatiku sudah membina istana cinta kau mengubahnya menjadi satu kebencian yang mendalam. Kusangka kebahagiaan yang dingin seperti embun namun menjadi kabut . Kau meninggalkan aku tanpa berita hingga aku berasakan tidak perlu menanti orang yang kusayangi. Kau pergi dengan janji-janji palsumu. Hati ini yang terluka.




Comments

Popular posts from this blog