Episod:Dulu dan sekarang.

Tiada dulu tiada sekarang . Dalam bab berpakaian aku paling 'simple' . Tidak begitu memilih. Kalau dulu, aku membeli pakaian baju dan seluar di Great Wall. Agak mudah hendak mencari saiz seluar kerana ketika itu sauz pinggang aku hanya 23. Di Great Wall ada baju seluar mahal digantung dan ada yang murah dilonggok di dalam bakul.
Pakaian longgok lebih murah dan jimat. Yang pasti , pakaian longgok tiada jenama seperti John Master , Arrow , Durban dan Allen Dilon. Aku tidak terlalu kisah dengan jenama. Pada aku , selesa dan kemas sudah cukup. Lagipun , pakaian dibeli hanya untuk guna ke tempat kerja.
Mula-mula bekerja dulu, aku memakai baju kemeja lengan panjang ayahku. Kebetulan saiz sama . Aku pakai saja apabila disuruh oleh ibuku. Aku bukan jenis cerewet bab pakaian . Zaman 'dating-berdating' pun , pakaian aku simple saja . Kasut sport yang aku beli tahun 1982 masih aku pakai tahun 1986. Seluar jeans biru harga RM17.90 itulah yang silih tak berganti. Kasut aku beli di kedai pondok tepi perhentian bas MARA Pelabuhan Klang.
Semasa berjumpa makwe (isteri) aku bukan kategori pandai sangat berfesyen atau bergaya. Itulah baju , seluar dan kasut sama aku pakai. Kalau hari bekerja , uniform kerjalah yang aku pakai. T-shirt pula selalunya diberikan oleh saudaraku yang kebetulan bekerja sebagai Editor NSTP di Kuala Lumpur. Setiap bulan , saudaraku akan membawa beberapa helai t-shirt bergambar FEB , Maggie , Brezz , Fumakila yang diberi oleh syarikat pengiklanan.
Entahlah , mungkin sebab itu juga M dan S tinggalkan aku . Ramai lagi jejaka bergaya di luar sana. Entahlah , aku cuma berperasangka saja .Lagipun , gaji aku hanya RM220 sebulan (1987-1990) dan meningkat RM500 (1991-1992). Susah sangat zaman itu. Semua duit gaji aku beri kepada ibuku untuk menampung belanja keluarga.
Tahun 1992 , aku sudah berhenti kerja. Aku bekerja di sebuah sekolah swasta lain di bandar Klang. Aku ditawarkan gaji RM700 sebulan. Masih tidak cukup. Aku perlu bekerja lebih masa untuk menyara isteri dan dua orang puteriku. Aku masih menaiki bas untuk ke sana ke sini. Selepas aku mendapat kerja 'part-time' , adalah rezeki lebih sedikit. Namun , aku masih seperti dulu juga. Bersederhana lebih baik.
Sejak bekerja 'part-time' , banyak perkara yang dulu tidak dapat atau lebih tepat tidak mampu dimiliki kini sudah mampu dibeli. Banyak perkara tertangguh kini sudah boleh direalisasikan . Benda mustahak diutamakan terutamanya membabitkan kepentingan hidup dan keluarga.
Kalau dulu ketika bujang , aku tinggal bersama-sama keluarga tetapi sejak berkahwin aku menyewa rumah . Perbelanjaan seawal tahun 90-an tidak terlalu besar. Harga setin besar susu pun sekitar RM30-40 tidak seperti sekarang mencecah ratusan ringgit. Begitu juga , peralatan elektronik dan perabot rumah masih mampu beli seperti televisyen, peti sejuk , radio dan kerusi kayu serta meja makan.
SUZUKI RC80 menggantikan YAMAHA 70 CDi yang sering rosak dan aku pula terbeli motosikal yang sudah putus dua disambung semula atas rekomen jiran. Motosikal baharu ini lebih selesa dan selamat. Apabila hendak ke mana-mana , motosikal inilah yang berjasa . Aku ,isteri dan dua orang puteri di atas sebuah motosikal ke Tasik Shah Alam ,bandar Klang atau ke mana-mana. Setakat itu sahajalah kemampuan dan kudrat yang ada. Bukan tidak mahu membeli kereta tetapi tidak mampu. RM12,000 hanya deposit untuk membeli sebuah Perodua Kancil. Bukan tidak mahu meminjam kereta tetapi apabila terdengar 'dengusan ' atau 'Chit ' bagai seekor cencurut hati sudah menjadi tawar untuk bertanya meminjam kereta orang. Yelah , kalau rosak siapa nak baiki?.
Rezeki tidak salah alamat . Ungkapan popular masa kini. Aku mendapat peluang mengajar personal tuisyen anak seorang exco kerajaan negeri , kemudian kontrak setahun dengan Majlis Sukan Negara dan kontrak dua tahun dengan sebuah pusat tuisyen kerjasama dengan Jabatan Pengajian Melayu , Universiti Malaya . Aku tidak lupa akan cabaran yang telah dilalui.
Aku membeli rumah terlebih dahulu daripada memiliki sebuah kereta. Itu lebih penting . Akhirnya , kami merasa juga tinggal di rumah sendiri daripada tinggal di rumah sewa dan ditendang bagai bola lebih mendukacitakan pindah malam kerana rumah sewa sudah dijual oleh empunya harta. Ini kali ke-7 aku berpindah rumah . Cakap cerita dongeng , boleh jatuh papa kalau berpindah lebih 7 kali. Ah, persetankan dengan cakap orang .
Pendapatan lebih baik tapi aku masih bekerja 'part-time' di samping kerja sepenuh masa. Di tempat baru, pun ada cabarannya . Kena pulau masyarakat keliling. Itu perkataan paling tepat aku jumpa. Apabila isteri dan anak-anak ke taman berhampiran , jiran tetangga masing-masing mengheret tangan anak pulang ke rumah.Isteri mendukung yang bongsu dan yang sulung pulang ke rumah dengan rasa malu .
Hidup kena berubah. Usaha kena berlipat ganda . Aku mula bergerak jauh mengajar tuisyen . Kapar , Batu Arang , Batang Berjuntai , Kuala Selangor menjadi tempat 'permainanku' .Isnin hingga Ahad jadual kerja yang padat .
Akhirnya , aku membeii sebuah Perodua Kancil. Kata jiranku, kereta Kancilnya lebih besar saiz daripada Kancilnya . Ah, sudahlah . Tidak sampai setahun aku membeli sebuah Proton Iswara . Kini , sudah ada dua buah kereta untuk kegunaan kami. Isteri mengambil upah menjaga anak orang . 11 orang kesemuanya termasuk anak-anakku. Ketika itu, bayaran upah sebanyak RM80 seorang . Itu pun ada yang tidak bayar. Isteriku juga mengambil upah menghantar dan mengambil anak-anak kawan di sekolah. Kebetulan, puteri-puteriku di sekolah yang sama. Jadi, anak-anak jagaan diangkut sama di dalam kereta umpama 'bas persiaran'.
Terkedek-kedek jiran tetangga datang ke rumah untuk bersembang-sembang selepas aku membeli sebuah Toyota Unser. Anak-anak lebih selesa kerana ruang kereta lebih luas. Tiba-tiba , aku hendak dilantik sebagai ketua penduduk Melayu di taman perumahan itu. Mereka mengadakan mesyuarat di salah sebuah rumah kejiranan di situ tetapi aku tidak hadir kerana tidur lebih baik. Nokhtah.
Aku mengadakan sedikit jamuan di rumah dan menjemput jiran-jiran datang ke rumah . Hanya kaum ibu dan anak-anak yang datang. Kaum bapa hanyalah beberapa orang sahaja yang hadir . Entahlah , aku pun tak faham mengapa mereka jadi hidung tinggi semacam. Adakah apa yang aku peroleh hasil duduk goyang kaki ?
Jamuan itu lebih kepada jamuan perpisahan kerana kami akan berpindah ke rumah yang baharu dibeli di Bukit Tinggi Klang . Aku juga telah membuka beberapa perniagaan sendiri . Kerja 'part-time' sudah menjadi 'full-time'. Aku masih membeli pakaian yang murah tetapi selesa dipakai dan kemas. Aku tidak pernah membeli seluar 'Levis ' atau kasut Adidas . Harga beratus-ratus membazir wang. Masuk kedai pun promoter tak pandang apalagi nak bertanya. Aku jamu mata saja. Di kedai bundle pun bersepah seluar baju kasut atau di Wakaf Che Yeh. Balik kampung boleh membeli-belah . Lagi murah lagi bagus . Barang kali betul kata orang , kita miskin kerana kita bergaya seperti orang kaya tetapi kita kaya kerana kita bergaya seperti orang miskin. Itu orang yang cakap . Betul tak betul kita boleh menilainya sendiri.

Comments

Popular posts from this blog