Sebuah kisah benar ..
Episod : Emak
" Mulai minggu depan , semua murid diminta membawa ibu atau bapa datang ke sekolah untuk mengambil 'report card' , " kataku sebelum usai ucapan selaku guru disiplin sekolah. Semua mata tertancap padaku yang masih berdiri di atas pentas ucapan. Sememangnya ,aku seorang guru yang sangat garang .
Semua guru sibuk mengemas kini buku 'report card' masing-masing terutamanya memasukkan markah peperiksaan . Perjumpaan guru dengan ibu bapa murid menjadi rutin setiap kali selesai peperiksaan di sekolah. Aku juga tidak ketinggalan membuat persiapan sama bagi melayani 30 orang ibu bapa murid kelasku.
Tiba hari perjumpaan , setiap bilik darjah telah disusun meja dan kerusi umpama sesi 'interview' .Seorang demi seorang , ibu dan bapa duduk di hadapanku mengikut giliran nombor yang diberikan oleh pengawas-pengawas sekolah. Segala aturan hari itu sudah disusun mengikut perancangan rapi.
Murid-muridku berbilang bangsa dan berbilang jantina. Murid yang nakal lama sedikit aku ' berceramah' di hadapan ibu bapa mereka. Muridku disuruh berdiri di samping ibu bapa mereka dan hanya menunduk kepala sepanjang sesi perjumpaan itu.Sementara menunggu giliran ibu bapa murid lain , aku memanggil seorang muridku yang sangat nakal di sekolah. Ada-ada saja masalah yang dilakukannya. Kadang-kadang , angin aku sampai aku cekak baju dia sambil memberikan amaran keras. Bergaduh di dalam dan di luar kelas kerja dia hampir setiap hari. Namanya sudah 'top' sebagai murid bermasalah.
"Mana ibu bapa kamu ,?" tanyaku dengan suara garang. Wajahku sedikitpun tidak senyum.
"Nanti emak saya datang ," jawabnya tergagap-gagap.
"Bapa kamu tak datang ?," tanyaku lagi.
"Bapa saya 'out station' , Cikgu ," balasnya.
"Bapa saya kerja kapal. Sudah lama dia belayar tak balik rumah ," sambungnya lagi. Aku hanya diam dan menulis sesuatu di atas fail murid itu.
Jarum jam sudah hampir 12.30 tengah hari.
" Mana emak kamu ?," tanyaku dengan suara tinggi.
"Sudah mau sampai, Cikgu. Lagi sikit jam sampai," katanya sambil menggeleng-geleng kepalanya.
"Budak ni , betullah. Aku pulak kena tunggu ," desis hatiku. Kawan-kawan guruku sudah mula mengemas kerusi meja . Hampir semua ibu bapa murid di kelas mereka telah hadir.
"Hah, itu emak saya datang," kata murid itu . Dari jauh seorang wanita lebih kurang umur 50-an menghampiri meja aku sambil ditemani muridku itu. Aku mempersilakan 'emak' muridku itu duduk dan mengeluarkan fail murid itu. Setiap pertanyaan aku tidak dibalas. 'Emak' muridku itu hanya membisu seribu bahasa. Aku jadi pelik sebab yang menjawab pertanyaan aku ialah muridku. Aku menyuruh muridku diam kerana aku ingin mendengar sendiri jawapan dari mulut 'emak'nya.
"Mana suami , tak ada datang ,? " tanyaku.
"Saya mana ada suami . Saya punya suami sudah lama mati," tiba-tiba 'emak' muridku bersuara. Kepala aku terdongak serentak melihat 'emak' muridku dan muridku yang berdiri di sebelah 'emak'nya.
'Ok, auntie. Boleh balik sekarang ," kataku spontan. Wanita itu terus bangkit dan meninggalkan bilik perjumpaan. Muridku sudah menghilangkan diri keluar dari bilik itu secara tergesa-gesa. Aku menyuruh 'budak-budak' (pengawas) aku mencari muridku itu di sekitar kawasan sekolah namun tidak berjumpa. Murid itu sudah melarikan diri entah ghaib ke mana.
Semasa menuruni tangga, 'emak" muridku itu masih ada di tangga bawah.
'Auntie emak. ..,?" tanyaku untuk mendapatkan pengesahan.
"Tak ada. Saya bukan emak dia. Saya sini jalan. Itu budak bagi saya RM5 suruh datang jumpa Cikgu," kata wanita itu dengan jujur.
" #£@#& punya budak ," tersembur kata-kata itu di dalam hatiku.
"Oklah, auntie baik-baik jalan," kataku dan kasihan melihat dia dipergunakan sedemikian.
"Tak ada ,Cikgu," kata Ketua Pengawas.
"Kami dah cari di semua blok semua kelas ," sambung seorang lagi pengawas.
*Tak apa. Saya tunggu dia datang sekolah esok. Kalau tak esok lusa. Ke mana dia nak lari ," kataku sambil mengetap bibir marah.
Kejadian itu membuatkan aku lebih berhati-hati dalam sebarang urusan melibatkan keluarga murid di sekolahku agar pisang tidak berbuah dua kali.
(Bersambung....Episod : Pondan )
Comments
Post a Comment