Kisah benar.
Episod:Surat Saman Trafik
Sekitar 90-an dulu , aku mengajar murid-murid Tingkatan 6 sesi pagi dan sesi malam kelas 'part time' .Sekolah sesi pagi , rata-rata murid yang tidak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan SPM atau tidak mendapat panggilan ke Tingkatan Enam sekolah kerajaan. Salah seorang murid Tingkatan Enam aku ialah seorang Sarjan Polis Trafik ( itu yang aku tahu ) .
Sarjan seorang murid berdisiplin dan lebih senior daripada murid-murid lain. Bagusnya Sarjan semua arahan atau peraturan dia akan ikut tanpa soal. Suruh beratur di perhimpunan dia juga beratur . 'Spot Check' rambut dia dikecualikan kerana faktor umur banyak rambutnya sudah meninggalkan kepala. Pada mulanya , aku pun tak tahu dia Sarjan Trafik tetapi sewaktu rehat dia duduk dalam kelas sahaja. Dia yang lengkap dengan uniform sekolah baju putih seluar putih kasut hitam akan menghabiskan tugas hakikinya : TULIS SURAT SAMAN TRAFIK!.
Berlambak di atas meja , 'bershushun' kata orang bergigi palsu. Sesekali aku masuk juga ke kelas waktu rehat melihat Sarjan menulis surat saman. Macam-macam kesalahan trafik yang srmpat aku belek-belek. Murid-murid di dalam kelas itu memang 'respect' dengan Sarjan yang mereka panggil dengan singkatan nama ' Jan ' . Ada masa mereka juga turut menolong Sarjan menulis dan menyusun surat saman trafik.
Kegigihan Sarjan belajar STPM memang aku pandang tinggi. Pada satu masa , dia belajar dan pada satu masa yang sama dia seorang anggota polis. Kadang-kadang aku terserempak dengan Sarjan semasa bertugas melakukan 'road block' . Begitulah , orang dulu-dulu berusaha untuk berjaya. Aku pernah mengajar seorang murid kelas malam . Orangnya baik dan sangat hormat kepadaku dari dulu hingga sekarang. Beza umurnya dengan aku lebih 10 tahun . Aku lebih muda daripada murid. Dia belajar kelas malam untuk membaiki taraf hidup yang lebih baik . Muridku ini pencen sebagai Pegawai Penguasa Imigresen . Pernah beberapa kali , aku terserempak dengannya di masjid . Dia akan datang memelukku dan memberitahu anak-anaknya ," Ini Cikgu Azmi, Cikgu ayah ," katanya dengan bangga. Semasa dia mengambil peperiksaan STPM dia hanyalah pegawai biasa.
Jadi, setiap hari Sarjan mengadap surat saman trafik dan terkejar-kejar dia dengan kerja latihan sekolah. Kawan-kawan Sarjan dalam kelas sangat membantunya . Sarjan tidak lokek senyuman kerana dia hormat kepada aku sebagai guru. Pengalaman mengajar di sekolah swasta berbeza kerana murid-muridku terdiri daripada pelbagai lapisan umur , bangsa dan status pekerjaan . Bagi murid-murid kelas malam kebanyakan golongan emak-emak , ayah-ayah dan remaja 'purba' . Oleh sebab itu, kadang-kadang aku tidak 'diiktiraf' oleh sesetengah daripada mereka kerana jarak umur aku lingkungan 22 tahun tapi murid-muridku berumur 40-50 tahun ! .
Satu perkara yang pernah aku baca : Dengarlah APA yang DIKATA bukan SIAPA yang berkata. Bermaksud , pentingnya isi yang disampaikan . Kisah seorang budak yang dibunuh kerana ideanya kepada Sultan di Singapura agar dipacak batang pisang bagi membunuh ikan todak yang menyerang manusia menimbulkan kegusaran kepada pembesar akan kebijaksanaan seorang budak bakal menggugat kedudukan jawatan dan kuasa mereka lalu mereka menghasut Sultan agar dibunuh budak itu.
Selepas STPM , aku tidak tahu keputusan yang diperoleh Sarjan tetapi dia tetap seorang Sarjan sehingga pencen bukan seorang Sub Inspektor kalau keputusan STPM dia tip top...
(Bersambung..Episod : Naik Langit Ke-7)
Comments
Post a Comment