Pidato yang ditulis dan dibaca oleh Dato’ Syed Danial (Alumni UM) sempena penganugerahan “Anugerah Tuanku Syed Putra” kepada Profesor DiRaja Ungku Aziz oleh DYMM Tuanku Raja Perlis di Istana Arau, Perlis, pada 29 Mac 2007.


PROF DIRAJA  UNGKU ABDUL AZIZ 


Tamparan yang tak parah 

Di punggung merah  

Masih basah bersalut darah 


Jeritan bayi baharu dilahirkan 

Di Hampstead Heath, utara London 

Tahun 1922 Januari tanggal 28 


Ibundanya Hamidah gelisah 

Tetapi tetap tabah 

Seraya merasai megah 

Ayahandanya keluh-kesah 

Ungku A Hamid mudah gelabah 

Namun merasakan bertuah 

Lantas terluahlah 

Kalimat Alhamdulillah 

Demikian bermula riwayat yang dikisah 


Ayahandanya Ungku Abdul Hamid 

Ketika itu belajar di Cambridge 


Menuntut Ll. B di negara matsaleh 

Bila balik kelak taklah dipandang lekeh 


Kemanjaan bayi dan ibu tidak lama 

Belum 3 tahun ibundanya meninggal dunia 

Ketika Ungku berusia 5 

Dibawa balik ke Johor negeri asalnya 


Ungku yang kecil ketika itu 

Hairan pertama kali melihat rumah Melayu 

Beratap nipah berdinding buluh dan kayu 

Berjalan dan bermain tanpa sepatu 


Pakaian pula koyak dan rabak 

Almaklum Depression sudah merebak 

Bila diingat hatinya sebak 

Kesannya ternukil sejak ia kanak-kanak  


Apa dilihatnya menyemaikan semangat 

Untuk berjasa dan melestarikan khidmat 

Kemiskinan ditentang selagi berhayat 

Sampai sekarang pun belum tamat 

Bayi itu sudah kini berusia kencana 

Hari ini sehari dua bulan melebihi 85  


Nama orangnya Ungku Abdul Aziz  

Anakanda Ungku Abdul Hamid 

Cucunda Ungku Abdul Majid 


Nindanya itu adinda Sultan Johor 

Sultan Sir Abu Bakar yang masyhur 

Baik di barat maupun timur 

Pemerintah negeri yang aman-makmur 


Seperti ayahandanya yang merantau jauh 

Ungku belajar pulun sungguh-sungguh 


Di Ngee Heng dan Bukit Zaharah 

Di sanalah Ungku bersekolah rendah 

Panas atau hujan Ungku tak kisah 

Sebab cita-citanya sudah diserlah 


Malang sungguh tidak disangka 

Ketika Ungku masih remaja 

Belasan tahun belumpun dewasa 

Ayahandanya pulang ke alam baqa  


Pelajaran diteruskan ke English College  

Kemudian ke Raffles namun pengajiannya tak habis 

Sebab Jepun menakluk menggantikan British 


Di Raffles College dia jadi mahasiswa 

Hanya setahun pengajiannya tergendala 

Daripada menganggur baiklah bekerja 

Menjadi kuli menggunakan tenaga 

Di Tambak Johor yang dibina semula 

Namun keazamannya diperhati juga 

Oleh Mayor JB, Yoshitomo Tokugawa 

Direkomennya kepada Gen. Yamashita 

Lantas dihantar Ungku ke Universiti Waseda 

Belajar di Nippon pada 1944 & 1943  


Bila tamat Perang Dunia Ke-2 

Disambung pengajiannya di Universiti Malaya 

Yang baharu ditubuhkan di Singapura 


Mendapat ijazah BA Hons (Ekonomi ) Kelas I 

Tahun 1951, dialah tunggal seorang Melayu l


Pada awal Universiti pasca Perang 

Mahasiswa ketika itu lebih matang 

Berbagai aliran fahaman dipegang 

Ada yang radikal senantiasa menentang 

Konon nak membetulkan dunia yang pincang 

Semuanya ingin menjadi pejuang 

Berpidato berapi alang-kepalang 

Ada yang benar dan ada yang temberang 

Tetapi Ungku Aziz, cita-citanya tak tergalang 


Ungku yang yatim-piatu itu tetap berazam 

Bertugas  JCS  setahun dalam Perkhidmatan Awam 

Namun jiwanya masih tidak dirasakan tenteram  


Lantas kembalilah Ungku ke Universiti 

Memulakan usaha menaburkan bakti 

Kemiskinan dikaji bukan hanya diperhati 

Penindasan oleh manusia ingin dibasmi 

Faktor-faktor penyebab sudah dipasti 

Penindasan, pengabaian dan rendah produktiviti  


Patutkah ayam mati di jelapang kerana lapar 

Itik mati dahaga di telaga, adakah wajar? 


Jika bangsa mahu merdeka 

Bukan setakat bangga di dada 

Iktisad masyarakat hendaklah diupaya 

Agar kemerdekaan benar berharga 

Mesti ada isi bukan cuma ada rangka 

Tak juga dibelenggu peranggu minda 


Dijajah lama masyarakat longlai-kaku 

Bukan mudah nak mencairkan sikap yang beku 

Namun itulah cabaran kepada Ungku 

Mendayakan kejayaan manusia khasnya Melayu 


Retorik manusia memanglah lunak 

Tindakan sedikit pun, isi-seninya banyak  


Pensyarah pertama Melayu di Universiti Malaya 

Ungku masih sempat merencana dan mengelola 

Kursus Ekonomi di Udara melalui Radio Malaya  

Satu program yang dimanfati belia 

Dan lain-lain pemirsa  di desa dan kota 

Menambah ilmu memperkasakan jelata 


Menjelang Merdeka menjulang martabat 

Bahasa Melayu pula perlu didaulat 

Di Johor Bahru di situlah tempat 

Penubuhan pertama DB&P  dibuat 

Siapakah gamaknya dipanggil menjawat 

Pengarah Dewan yang diperlukan sangat 

Ungku dilantik dan sangatlah tepat 


Kolej Universiti 1959 bermula di Ibukota 

Sebagai cawangan kampus U M di Singapura 

Bagi menyediakan keperluan tenaga manusia 

Untuk pembangunan Negara yang sudah merdeka 


Pemisahan Universiti dua tahun kemudian 

U M di KL menjadi Universiti tunggal watan 

Tak bergantung dengan induknya di Jalan Dunearn 

Ungku ke Kuala Lumpur sebagai Pensyarah Kanan 

Tapi dengan Universiti Waseda tak diputuskan pelajaran 

Mendapat D Econs, namanya adalah Dr. di depan 


Sebagai Melayu menjadi Prof yang pertama 

Terus dia meningkatkan darjat serta nama 

Menjadi Dekan Fakulti Ekonomi pada 1965 


Tiga tahun kemudian 

Dari 1968 hingga 1988 

Ungku pegang lain peranan 

Sebagai VC, 20 tahun 1 bulan 


Sungguhpun dia memimpin Universiti 

Khidmat kepada masyarakat tidak diketepi 

Ungku berjaya menyelesaikan Mogok Keretapi  

Telagah pekerja dan majikan upaya diberhenti  

Kerajaan dan rakyat tidaklah terus rugi 


Pekerja-pekerja estet juga dibantu ikhlas 

Akibat fragmentation yang mudaratnya jelas 

Jasa Ungku NUPW tak dapat membalas 

Cuma satu tanda penghargaan yang khas 

PPN Hostel Ungku yang meletak batu-asas 


Satu perkara yang dikaji Ungku 

Gerakdaya menabung orang Melayu 

Untuk ke Mekah menunaikan fardhu 

Menyimpan di bank dengan riba tidak disetuju 

Ungku mencadangkan gagasan yang jitu 

Sheikh Shaltout, Rektor Al-Azhar, memberi restu 

Tertubuhlah L U T H yang kita semua tahu 

Menggemblengkan dana RM berjutaan ribu 

Gadai tanah dan berhutang tidak lagi perlu 

Bakal Haji pula menikmati khidmat bermutu 

Konsep Tabung Haji kita itu 

Kini banyak negara yang hendak tiru 


Gerakan koperasi pula sangat dekat di hati 

Cara menyekat kemudaratan eksploitasi 

Menggembleng sumber melalui jayadiri 

ANGKASA berperanan pelindung yang jati 

Ditubuh 1971 dan masih subur hingga kini 

Sebab selama 36 tahun Ungkulah pengerusi 


Economic Study of Malay Rubber Smallholders itulah judul 

Kajian ilmiah pertama pada 1947 oleh Ungku A Aziz 

Sekarang lebih 160 karya dan monografnya terkumpul 

Termasuk 1954 Notes on the Economic Farm Study in Perlis 


Walaupun sudah pencen 1988 sebagai VC 

Ungku tidak duduk di rumah sahaja menyepi 

Terus terlibat dalam 10 bilangan institusi  

Mewakili Malaysia di antarabangsa dalam 4 lagi  


Selain menyambut gelaran Professor Diraja  

Anugerah tunggal 1978 daripada Seri Paduka Baginda 

Ijazah Kehormat 14 diterima dan 9 dari luar negara  

Serta 17 lagi pengiktirafan kerana jasa yang terkemuka 

Sepuluh darinya dari negara Malaysia  

Itu pun belum dikira Anugerah Tuanku Syed Putra 


Pada 20 06 2006 Perdana Menteri melakukan acara 

Penghargaan negara kepada budiman 6 dasawarsa  

Kerajaan mewujudkan Kursi Akademik di Universiti Malaya 

Sempena namanya kerana sumbangan dan jasa 

Demi menjadikan U M pusat kecemerlangan antarabangsa  


Ungkulah puspa yang kembang dan harum 

Sepanjang usianya yang melebihi 85 tahun 

Masih menabur budi dengan penuh tekun 

Macam pak tani yang duk perdoh kebun. 


Dipersembahkan Ungku Abdul Aziz ibni Ungku Abdul Hamid kepada DYMM Tuanku dengan harapan semoga diperkenankan beliau, seorang putra raja, prawira jelata, kesatria bangsa dan jasawan kepada manusia, dikurniakan Anugerah Tuanku Syed Putra.

Comments

Popular posts from this blog